Ad

Friday, 10 July 2015

Pengalaman berguna buat Johor DT

 – GomezOleh SHARKAWI LONDING
GARY (tengah) menjaringkan gol sagu hati Johor DT pada aksi menentang Dortmund di Larkin, malam kelmarin.

JURULATIH Johor Darul Takzim (Johor DT), Mario Gomez menyifatkan kekalahan 1-6 skuad bimbingannya kepada juara Liga Jerman sebanyak lapan kali, Borussia Dortmund pada aksi perlawanan persahabatan di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin merupakan pengalaman terbaik buat anak-anak didiknya untuk mematangkan lagi corak persembahan mereka.

Menurut Gomez, perlawanan itu juga membolehkan beliau mempelajari rentak permainan skuad kendalian Thomas Tuchel itu untuk dijadikan contoh dalam mempersiapkan diri menghadapi pasukan Selangor dalam saingan Liga Super pada Isnin depan.

Jelasnya, peluang mengadakan perlawanan persahabatan dengan Dortmund seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para pemain Johor DT untuk mempelajari sesuatu yang baharu daripada pemain-pemain bertaraf dunia.

“Bagi saya perlawanan dengan kelab ternama ini bukan satu cabaran tetapi ini merupakan peluang terbaik untuk para pemain kita menimba pengalaman, lagipun bukan selalu mendapat peluang beraksi menentang pasukan berkelas dunia,” kata Gomez pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan tersebut malam kelmarin.

Pada perlawanan itu, Dortmund tampil dengan aksi memukau apabila menang mudah 6-1 ke atas Johor DT menerusi gol sumbangan Ilkay Gundogan pada minit ke-22, Squerland (m-29), Kevin Kampl (m-32), Shinji Kagawa (m-74), Jeremy Calvin Dudziak (m-82) dan Marco Reus pada minit ke-89.

Mengulas lanjut, Gomez mengakui bahawa anak-anak buahnya banyak melakukan kesilapan terutamanya di bahagian serangan dan pertahanan sehingga mereka dihukum oleh para pemain Dotmund yang dilihat menguasai keseluruhan perlawanan.

Katanya, rentak permainan skuad Harimau Selatan itu pada separuh masa pertama agak konsisten dan seimbang malah berjaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol, namun tidak disudahkan dengan baik.

Begitupun, Johor DT berjaya menghasilkan satu gol menerusi jaringan Gary Steven Robbat pada minit ke-39.

Namun ujarnya, memasuki babak kedua, rentak permainan anak-anak buahnya mula berubah apabila mudah hilang konsentrasi selain lebih banyak berkampung di kubu sendiri bagi mengekang asakan Dortmund.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0711&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3fXFFzqc1 Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment