SOFIAN
BAHAROM | 01 Mac 2016 1:28 AM
DR. MAHATHIR
MOHAMAD mengumumkan keluar daripada UMNO dalam sidang akhbar di Yayasan
Kepimpinan Perdana, Putrajaya, semalam. utusan/Zaki Amiruddin
PUTRAJAYA 29
Feb. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini buat kali kedua
mengumumkan keluar daripada UMNO kerana mendakwa perjuangan parti itu bukan
lagi seperti dahulu.
Dr. Mahathir
berkata, UMNO kini dilihat sebagai sebuah parti yang hanya memberi fokus kepada
perjuangan mengekalkan pemimpin tertentu sekali gus membelakangkan perjuangan
parti yang telah berakar sejak 1946.
Katanya, beliau
akan menghantar surat rasmi berhubung tindakannya itu kepada Setiausaha Agung
UMNO dalam masa terdekat tetapi menganggap perkara itu sebagai sekadar
formaliti.
“Saya tidak
boleh menjadi ahli bagi sebuah parti yang hanya berdedikasi untuk menyokong dan
melindungi seseorang. UMNO dahulunya sebuah parti yang menentang Malayan Union,
memperjuangkan kemerdekaan dan menyumbang kepada pembangunan negara.
“Saya berada
pada fasa penubuhan UMNO dahulu dan saya tahu apa perjuangan parti. Saya
mendedikasikan diri kepada UMNO walaupun pernah dibuang oleh Tunku Abdul
Rahman,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana
di sini hari ini.
Pada 19 Mei
2008, Dr. Mahathir pernah bertindak keluar parti yang pada masa itu dipimpin
oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap
penggantinya itu.
Dr. Mahathir
berkata, beliau akan menyertai satu gerakan teras tetapi tidak akan menyertai
parti lain kerana hatinya masih bersama UMNO yang dahulu.
Beliau juga
menafikan akan menubuhkan parti baharu memandangkan tindakan itu hanya
menyebabkan rakyat keliru serta memecah-belahkan mereka.
Berhubung
status isteri dan anak-anaknya dalam UMNO, Dr. Mahathir berkata: “Saya tidak
boleh bercakap bagi pihak anak-anak tetapi Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali
mengikut saya meninggalkan UMNO”.
Berhubung
langkah seterusnya, Dr. Mahathir berkata, beliau akan terus menyuarakan
pendirian dan pendapat melalui gerakan teras berkenaan.
Ditanya adakah
beliau berharap tindakannya keluar parti akan diikuti oleh bekas Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau berkata: “Saya harap begitu
tetapi saya tidak berbincang dengan sesiapa soal keluar UMNO ini.”
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/berita/politik/dr-mahathir-umum-keluar-umno-lagi-1.195808#sthash.iu4rOT9T.dpuf
No comments:
Post a Comment