Ad

Saturday, 3 September 2016

Johor FC malukan Terengganu

ARKIB : 22/04/1998
Johor FC malukan Terengganu
JOHOR FC yang belum tewas dalam Perdana Dua menewaskan pendahulu liga itu, Terengganu 2-0 dalam pusingan pertama bola sepak Piala F.A di Stadium Larkin, Johor, malam tadi.

Gol pertama Johor FC dijaringkan oleh Fuad Adam pada minit ke-55 melalui satu tendangan hasil umpanan Armi Shariff dan gagal diselamatkan oleh penjaga gol Terengganu, Zubir Ibrahim.

Pemain gantian Johor, Junaidi Latip yang dimasukkan bagi menggantikan Aytec Genc pada minit ke-59, menjaringkan gol kedua Johor FC pada minit ke-68.

Sembilan minit kemudian Junaidi yang berjaya menewaskan pemain Terengganu, Mustaffa Kamal mengelecek lalu merembat bola ke gawang setelah mendapat hantaran dari Armi Shariff dan gagal diselamatkan oleh Zubir.

Terengganu yang berjaya memasuki peringkat separuh akhir Piala FA tahun lalu tidak membuat serangan-serangan yang berbahaya sebaliknya banyak bertahan.

Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan bermain dengan agak lembap dan Terengganu hampir menjaringkan gol pertama pada minit ke-3 hasil tandukan Joszef Kovach setelah mendapat hantaran Anuar Jusoh tetapi tersasar.

Terengganu terus mengasak dan pada minit ke-16, Joszef sekali lagi mendapat peluang terbaik setelah salah faham antara pertahanan Johor FC, Suhaimi Jamil dan Mirco Jurilj berlaku di luar kotak penalti.

Johor FC kemudian membuat satu percubaan pada minit ke-27 melalui Ramlan Sarman hasil gerakan Aytec Genc, bagaimanapun bola tendangan Ramlan melepasi palang gol.

Sementara itu, pasukan NS Chempaka mengejutkan juara Piala FAM, Angkatan Tentera (ATM) 2-1 pada pusingan yang sama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Walaupun beraksi di tempat sendiri, NS Chempaka gagal memanfaatkan beberapa peluang terbuka untuk menjaringkan gol setelah kehilangan penyerang berbahaya Steven Aborowei.

NS Cempaka yang merupakan naib juara Piala FAM menghasilkan gol pertamanya pada minit ke-44 melalui Yustafizan Johar setelah menerima bola lantunan dan membuat sepakan kencang yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Aris Fadilah Aziz.

Pasukan tuan rumah memperoleh gol keduanya pada minit ke-53 melalui Mohd Khaidir Mohd. Dom.

ATM tertekan tetapi bangkit memberikan saingan apabila berjaya merapatkan jaringan pada minit ke-54 hasil tendangan penalti ketua pasukan, Azmi Mohd Nazir setelah pemain pertahanan NS Cempaka menjatuhkan Abdul Latib Mohd. Sharip dalam kawasan penalti.

Di Stadium Kubu, Melaka menewaskan Telekom Melaka 4-1 dalam perlawanan pertama pusingan awal.

Gol Melaka dijaringkan oleh Md. Nor Sheikh Ibrahim minit ke-65, Azmi Ariffin (70), Arfandy Lokman (88) dan bekas pemain Terengganu, Edward Dipreye pada minit ke-90 sementara gol tunggal Telekom Melaka melalui Isaac Kufour minit ke-80.

Di Stadium KLFA, Malay Mail menewaskan Polis 2-1 untuk mencerahkan peluang ke pusingan kedua.

Gol Malay Mail dijaringkan oleh K. Hemadass pada minit ke-58 dan Robert Paul Maniam minit ke-70 sementara jaringan tunggal Polis menerusi Okiyano Onyanbo pada minit ke-60.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4JBbUa5dH © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment