WARTAWAN SINAR HARIAN
10 SEPTEMBER 2016
Kesilapan sendiri punca tewas Fadhli Shas mendapat
kepercayaan Kim Swee walaupun jarang diturunkan dalam Liga Malaysia.
SATU perkara yang amat jelas dan tidak boleh dinafikan
ialah kesilapan individu daripada Fadhli Shas, telah menjadi titik tolak kepada
kekalahan memalukan skuad Harimau Malaysia di tangan Indonesia pada aksi
persahabatan antarabangsa di Solo, Selasa lalu.
Apa pun alasannya, pemilihan pertahanan Johor Darul
Ta'zim (JDT) itu menimbulkan lebih banyak persoalan kerana dia kerap memanaskan
bangku simpanan dalam aksi Liga Malaysia (Liga-M).
Hanya Ketua Jurulatih Kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee
sahaja mempunyai jawapan sebab beliau menyenaraikan Fadhli dalam kesebelasan
utama.
Mungkin gandingannya dengan Ronny Harun lebih ngam atau
pengalamannya bersama skuad senior menjadi alasan kuat dia diturunkan pada
malam itu.
Dalam mana-mana kes, pemain yang kurang mendapat masa
bermain bersama kelab, peluangnya untuk tersenarai dalam skuad kebangsaan amat
tipis.
Sebagai contoh, penyerang prolifik Leicester City, Jamie
Vardy tercicir daripada skuad kebangsaan Englan ketika berdepan Slovakia enam
hari lalu kerana gagal menyerlah dalam aksi awal Liga Perdana Inggeris (EPL).
Namun, bagi kes Fadhli ada pengecualian, Kim Swee mungkin
melihat Fadhli calon paling sesuai mengisi posisi berkenaan.
Dan jika benar Kim Swee percaya dengan kebolehan Fadhli,
beliau perlu memujuk pemain tersebut menyertai pasukan lain dalam Liga-M yang
boleh menjamin kekerapan bermain untuk dirinya.
Rapuh
Melepaskan gol awal bukan cara terbaik untuk mana-mana
pasukan memulakan perlawanan.
Lebih malang lagi, ia terhasil daripada kesilapan
sendiri.
Malah, mana-mana jurulatih di dunia pasti mahu menghalang
kubu daripada dibolosi pada minit-minit awal.
Situasi makin menyukarkan Harimau Malaysia apabila
ketinggalan dua gol dalam tempoh 11 minit dan ia bukan petanda positif untuk
melakukan kebangkitan semula apatah lagi tuan rumah mendahului 3-0 ketika
permainan baru berusia 21 minit.
Kedudukan 3-0 itu sebenarnya telah membunuh sisa
perjuangan pemain negara dan ia dibuktikan dengan corak permainan yang hilang
arah, malah tidak keterlaluan boleh dianggap amatur berbanding Indonesia yang
baharu sahaja bebas daripada penggantungan lebih setahun daripada Persekutuan
Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Ketiadaan Safiq dirasai
Ketiadaan kapten berkaliber seperti Safiq Rahim amat
dirasai. Ia semakin ketara apabila seolah-olah tiada arahan untuk bertenang dan
berkumpul semula selepas ketinggalan satu gol daripada Amri Yahyah pada malam
itu.
Jika Amri lebih proaktif, dia mungkin boleh menyuntik
lebih banyak tenaga positif kepada pemain lain sekali gus mencetuskan semangat
juang pasukan yang akhirnya boleh membunuh momentum Indonesia.
Jika difikirkan kembali, ketinggalan dua gol di awal
permainan adalah mimpi ngeri buat mana-mana pasukan namun ia masih belum
terlambat untuk mendaki dan membina semua keyakinan sebelum kedudukan bertambah
parah.
Baddrol masih tunjang
Selepas mempamerkan aksi buruk di babak pertama, skuad
negara tampil lebih kemas di separuh masa kedua.
Mereka turun dengan semangat baharu dan lebih bersatu.
Paling menonjol ialah kelibat pemain Kedah, Baddrol
Bakhtiar yang beroperasi di bahagian tengah.
Persembahannya harus diberi pujian kerana dia mampu
menahan pasukan daripada runtuh.
Ya, mungkin dia boleh dipersalahkan kerana menjadi punca
kepada gol ketiga Indonesia namun di babak kedua dia tampil lebih konsisten
berbanding pemain lain.
Hantaran-hantaran jauh dan tepatnya menunjukkan mengapa
Baddrol masih relevan dalam skuad kebangsaan.
Apa pun, Kim Swee perlu menggunakan kelebihan ini untuk
membina pasukan yang sesuai dengan hantaran-hantaran jauh, kerana beliau sudah
tidak mempunyai masa yang cukup untuk bereksperimen lagi.
Dibom kritikan
Selepas kekalahan tempoh hari, skuad negara terutamanya
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dihujani kritikan daripada peminat dan
pencinta bola sepak tanah air.
Kritikan yang datang bertalu-talu sehingga ada menuntut
badan induk bola sepak negara itu dirombak segera bagi mengembalikan semula maruah
negara yang tercalar.
Malah, sikap FAM yang beria-ia mahu mencari dalang kepada
pembocor maklumat pendrive berbanding memartabatkan bola sepak menambahkan lagi
api kemarahan peminat.
Tinjauan Ultras di Facebook rasmi FAM, mendapati badan
induk itu terus dihujani kritikan.
Malah, bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni mendesak empat
pertahanan Harimau Malaysia iaitu Ronny Harun, Fadhli Shas, Azrif Nasrulhaq
Badrul Hisham dan Matthew Davies digugurkan susulan kekalahan mengaibkan itu.
Jelas Bakri, kesilapan budak sekolah dilakukan barisan
pertahanan negara itu tidak boleh dimaafkan kerana tiga situasi jaringan lawan
itu berpunca daripada kelemahan teknikal asas.
“Sekiranya jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) tidak membuat
perubahan segera, saya tidak nampak kita mampu memberi tentangan dalam Piala
AFF dan mungkin Malaysia boleh jadi pasukan belasahan,” katanya.
Paling pedas melontarkan pendapatnya berhubung prestasi
semasa Harimau Malaysia ialah pengkritik sukan tanah air Prof Emeritus Tan Sri
Dr Khoo Kay Kim.
Dengan nada sinis, beliau beranggap kualiti pemain
tempatan masih jauh ketinggalan selain membidas pihak pengurusan yang gagal
memberikan persediaan kepada pemain sehingga mereka beraksi di padang seperti
budak sekolah.
"Pemain kita main tak pakai otak, mereka main macam
robot, hantar bola tak betul, tendang tak betul, semua tak betul, macam mana
mereka boleh bermain untuk pasukan kebangsaan?" katanya.
Beliau memberi contoh skuad negara Bawah-22 (B-22) tewas
1-2 kepada skuad B-22 Bahrain pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium
Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada minggu lalu.
Beliau berkata, pihak pengurusan dan jurulatih gagal
menyediakan latihan sesuai dengan corak permainan terkini.
“Mereka tidak diberi latihan yang sesuai, bila kita pilih
pemain kita perlu mengkaji cara mereka bermain bukan seperti robot, selalu bagi
bola kepada penjaga gol.
“Bagaimana mereka nak capai keputusan baik kalau mereka
selalu hantar bola kepada penjaga gol?," ujarnya.
Tak panik
Di sebalik kekalahan memalukan itu, Kim Swee masih boleh
bertenang dan menegaskan tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana baginya
kelemahan skuad negara mampu dibaiki.
Malah Kim Swee menyifatkan kekalahan terbaru itu
disebabkan beliau tidak mempunyai ramai pilihan untuk mengisi bahagian
pertahanan tengah.
"Apa pilihan yang saya ada? Saya kena lakukan sebaik
mungkin dengan barisan pemain yang saya ada. Jika anda lihat situasi dalam
pasukan di liga, kebanyakan pertahanan tengah adalah pemain import ataupun
pemain yang sudah berusia.
"Jika saya panggil pemain berusia, anda akan cakap
saya panggil pemain yang sudah tua, tetapi jika panggil pemain muda mereka
dikatakan tidak matang dan belum cukup pengalaman di peringkat
antarabangsa," katanya yang enggan menganggap situasi ini sebagai krisis
dalam skuad kebangsaan.
Tambah Kim Swee lagi beliau ada cara untuk mengatasi
masalah tersebut namun akui ia bukanlah mudah terutama sekali dengan kekangan
masa yang tidak mencukupi.
Sumber-SINAR HARIAN
10 SEPTEMBER 2016
No comments:
Post a Comment