Ad

Saturday, 10 September 2016

Safiq diminta keluar daripada persaraan

MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI   08 September 2016 12:18 AM
 PEMAIN Malaysia,  Wan Zack Haikal Wan Nor cuba melepasi kawalan
PEMAIN Malaysia, Wan Zack Haikal Wan Nor cuba melepasi kawalan pemain Indonesia, Fachruddin Wahyudi Aryanto dalam perlawanan persahabatan di Stadium Manahan, Solo malam semalam. Indonesia menang 3-0. AFP
SEPANG 7 Sept. – Pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee berharap Safiq Rahim dan tiga pemain lain yang bersara pada Julai lalu bersimpati dengan apa yang dialami rakan-rakan mereka di tangan Indonesia dan mengubah fikiran untuk kembali menyarung jersi negara.
Kim Swee mengakui skuadnya amat merasai kehilangan Aidil Zafuan Abd. Radzak, S. Kunanlan, Amirulhadi Zainal dan Safiq yang selama ini menjadi tonggak pasukannya sehinggakan pasukan negara mudah dijinakkan dalam perlawanan persahabatan dengan Indonesia semalam.
Selain merasai ketiadaan mereka, Kim Swee menjelaskan pemain-pemainnya juga masih belum serasi setelah dia terpaksa membuat 14 pertukaran kepada skuad yang tewas 3-0 kepada Indonesia di Solo itu dan mereka disatukan dalam tempoh yang singkat.
“Mereka adalah pemain utama dan kehilangan mereka menyebabkan saya terpaksa melakukan perubahan besar kepada pasukan. Perlawanan peringkat antarabangsa bukan senang. “Cuma saya harap jika mereka melihat perlawanan semalam, dan mereka menjiwai apa yang dirasakan pemain-pemain lain, saya harap mereka kembali beraksi demi negara, dengan apa jua krisis yang kita lalui sekarang,”
katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Keputusan itu memberi gambaran bahawa jurulatih berusia 46 tahun itu bakal menghadapi tugas sukar dalam usaha menyediakan pasukan terbaik untuk beraksi dalam kejohanan Piala AFF tahun ini. Kim Swee akan dapat menguji pasukannya dalam dua lagi perlawanan persahabatan iaitu menentang Singapura di Stadium Nasional, Singapura pada 7 Oktober dan Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober.
Dalam pada itu, Kim Swee turut mengakui dia tidak dapat menerima kekalahan mudah skuadnya kepada Indonesia setelah dia sering kali mengingatkan kepentingan posisi pertahanan kepada pemain-pemainnya.
Namun, pengalaman jelas menjadi musuh skuad Kim Swee kerana empat pemain pertahanan iaitu Ronny Harun, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Matthew Thomas Davies dan Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham yang diturunkannya semalam kali pertama digandingkan serta kurang pengalaman dalam perlawanan antarabangsa.
“Saya banyak kali tekankan kepada pemain bahagian pertahanan adalah posisi paling penting, bukan senang apabila keempat-empat pertahanan saya ditukarkan dan digandingkan buat pertama kali.
“Saya faham kita tewas dengan keputusan yang tidak munasabah tetapi secara realitinya kita perlu terima. Pastinya saya akan melakukan seberapa baik yang mungkin dengan apa yang saya ada. “Kita juga perlu memahami, saya tidak boleh mengambil pemain yang belum matang untuk perlawanan antarabangsa,” tegasnya

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safiq-diminta-keluar-daripada-persaraan-1.379761#sthash.gDFm4WCD.dpuf

No comments:

Post a Comment