Ad

Tuesday, 6 September 2016

'Pertama kali saya nampak ular sawa sebesar itu'

MOHD AZLIM ZAINURY
5 SEPTEMBER 2016
 'Pertama kali saya nampak ular sawa sebesar itu'
'Pertama kali saya nampak ular sawa sebesar itu' Ular sawa ‘gergasi’ itu akhirnya berjaya ditangkap anggota APM Marang dengan bantuan penduduk kampung.
MARANG – Seorang penduduk yang menetap di Kampung Belubur di Rusila di sini, terkejut apabila ternampak kelibat ular sawa batik sepanjang kira-kira tujuh meter dan seberat lebih 100 kilogram (kg) dalam reban ayam, malam tadi.

Penduduk berkenaan, Mohd Syukri Abdul Rashid, 61, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 10.30 malam dan dalam keadaan hujan itu, dia sebelum itu terdengar bunyi yang agak pelik datang dari arah reban belakang rumahnya itu.

“Saya kemudiannya buka lampu bahagian belakang dan keluar dari rumah untuk membuat pemeriksaan dan sebaik sahaja saya sampai di reban, baru saya sedar terdapat seekor ular sawa besar sedang menelan seekor ayam jantan.

“Ini merupakan kali pertama saya jumpa ular sawa sebesar ini. Sebelum ini banyak ternakan saya mati termasuk dua ekor ayam belanda tetapi baharu kali ini reptilia itu tidak sempat menghilangkan diri,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Terkejut melihat keadaan ini, Mohd Syukri segera menghubungi anggota Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marang dan beberapa ahli keluarga terdekat tinggal di kampung tersebut untuk menangkap ular berkenaan.

Menurutnya, sekumpulan anggota APM Marang tiba sejurus kemudian dan dengan bantuan beberapa penduduk, ular itu akhirnya berjaya ditangkap dan diikat sebelum dimasukkan ke dalam kenderaan pacuan empat roda APM Marang.

“Mujurlah ular sawa batik ini tidak bertindak agresif, mungkin kerana ia kekenyangan dan dengan tertangkapnya reptilia ini menjawab persoalan kehilangan binatang ternakan saya terutamanya pada waktu malam,” katanya.

Mohd Syukri berkata, kawasan sekitar kampung berkenaan adalah kawasan berpaya dan ramai penduduk termasuk dirinya sering kali terjumpa ular sawa namun itu merupakan kali pertama mereka melihat ular sawa sebesar itu.

Menurutnya, penduduk kawasan itu juga menghargai bantuan dan tindakan pantas anggota APM Marang dan dengan penangkapan ular sawa itu, penduduk kampung berkenaan kini tidak perlu lagi bimbang kehilangan haiwan ternakan.

Sementara itu, Pegawai APM Marang, Mohd Zabri Abd Razak berkata, reptilia bersaiz luar biasa itu kini ditempatkan di dalam kurungan di pejabat agensi berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak berkaitan dalam masa terdekat.

SUMBER-SINAR  HARIAN 5 SEPTEMBER 2016

No comments:

Post a Comment