PESAWAT Angkatan Tentera Udara
Diraja (RNZAF) Orian bersedia untuk berlepas dari Pengkalan Tentera Udara
Diraja itu untuk menjalankan misi mencari MH370 semalam.
PERTH 6 April - Kapal
pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield mengesan satu isyarat ketika menyertai
operasi mencari penerbangan MH370 di selatan Lautan Hindi pada Ahad.
Perkembangan terbaharu ini
menyusuli dua denyut pendek yang juga dikenali sebagai isyarat akustik yang
dikesan 36 jam lalu dan pada petang Sabtu oleh kapal China, Haixun 01.
Ketua Penyelaras Pusat
Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Angus Houston berkata setakat ini belum
dapat diputuskan sama ada untuk mengesahkan atau menolak petunjuk itu
memandangkan siasatan masih berjalan.
"Kapal HMS Echo dalam
perjalanan ke lokasi Haixun 01 manakala Ocean Shield sedang menyiasat isyarat
itu menggunakan peralatan bawah permukaan air," katanya dalam sidang media
di sini hari ini.
Katanya jarak antara Haixun 01
dan Ocean Shield ialah kira-kira 300 batu nautika.
Houston menyifatkan Ocean
Shield sebagai kapal terbaik untuk tugas itu memandangkan aset tersebut
dilengkapi 'towed pinger' (alat pengesan isyarat yang ditunda) dan kenderaan
bawah permukaan air kawalan jauh.
Beliau bagaimanapun menjelaskan
pengesahan isyarat itu boleh mengambil masa beberapa hari selain pencarian yang
sukar kerana kedalaman di kawasan berkenaan ialah kira-kira 4.5 km di samping
pelbagai cabaran lain.
Penerbangan MH370 ke Beijing
itu yang membawa 239 orang hilang tanpa jejak ketika di ruang udara Laut China
Selatan, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, 8 Mac lalu.
Analisis data satelit kemudian
menunjukkan pesawat mengubah haluan jauh daripada laluan asal dan penerbangan
berakhir di selatan Lautan Hindi. - BERNAMA
RUJUKAN;
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140407/dn_01/Kapal-Ocean-Shield-kesan-isyarat#ixzz2yDSPpFWM
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment