Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my
Penjaga gol Perak, Razi Effendi
Suhit menepis tandukan pemain Pahang, Matias Ruben Conti dalam perlawanan Liga
Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin. Pahang menang 2-0 -
UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN - Pemain Pahang
diingatkan supaya tidak leka dibuai mimpi setelah mencatatkan kemenangan 2-0 ke
atas Perak kelmarin, yang membolehkan pasukan itu melonjak ke anak tangga
pertama Liga Super buat kali pertama musim ini.
Jurulatih Pahang, Zainal Abidin
Hassan berkata, para pemain perlu mengekalkan momentum permainan yang cemerlang
dan meneruskan perjuangan, sekali gus kekal pada kedudukan sedia ada apabila
memasuki pusingan kedua nanti.
Katanya, beliau tidak mahu anak
buahnya itu terus dibuai mimpi berikutan kejayaan tersebut kerana masih banyak
lagi perlawanan yang perlu dihadapi.
"Saya mengingatkan
pemain-pemain saya agar tidak mudah leka dan sentiasa memberi tumpuan
sepenuhnya terhadap perlawanan yang bakal dihadapi nanti.
"Mereka perlu mengekalkan
rentak kemenangan ini sekiranya mahu bergelar juara liga pada penghujung musim
ini. Pemain-pemain harus ingat yang mereka masih ada lagi tanggungjawab dan
cabaran lebih besar selepas ini," katanya di sini semalam.
Dalam perlawanan kelmarin,
Pahang berjaya merampas kedudukan teratas Liga Super daripada Terengganu
selepas menewaskan Perak 2-0 di Stadium Darul Makmur manakala Terengganu hanya
seri 1-1 dengan Kelantan.
Pahang memperolehi gol menerusi
penyerang dari Nigeria, Dickson Nwakaeme dan pemain sayap lincah, R. Gopinathan
dalam separuh masa permainan.
Pahang kini mengumpul 19 mata
selepas 10 perlawanan dengan merekodkan enam kemenangan dan satu seri.
Selepas mengambil alih tugas
daripada Ronald Smith, Zainal mampu tersenyum kerana pasukannya mencatat rekod
tanpa kalah dalam empat perlawanan dengan tiga kemenangan.
Menurut Zainal, untuk kekal di
persada liga, para pemain perlu membaiki banyak kelemahan yang ada.
"Namun saya berpuas hati
dengan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap pemain dalam perlawanan menentang
Perak kelmarin.
"Saya harapkan pada
perlawanan selepas ini, semua pemain pemain kekalkan prestasi yang terbaik agar
kita dapat kekal di takhta liga," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140331/su_06/Pahang-kena-beringat-walau-kini-di-atas#ixzz2xcxzWSvP
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment