Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan
AMEEN AZIZUL
sukan@utusan.com.my
Ketiadaan Andik Vermansah
dikhuatiri mampu merencatkan rentak permainan Selangor, malam ini.
SHAH ALAM - Tatkala Selangor
memerlukan kemenangan sulung bagi menghidupkan peluang ke pusingan kedua Piala
AFC, jurulatihnya, Mehmet Durakovic berdepan ujian paling mencabar apabila
dilanda krisis kecederaan melibatkan pemain-pemain utama.
Dua daripada empat pemain
import Selangor, Steve Pantelidis dan Andik Vermansah merupakan dua tonggak
yang terpaksa disisihkan selain K. Gurusamy kemungkinan mendapat kecederaan ACL
yang memaksanya berehat sehingga penghujung musim ini.
Bek kanan, Mohd. Shahrom Abdul
Kalam juga masih belum pasti dapat diturunkan.
Mehmet bagaimanapun
menegaskan, biarpun beraksi dengan serba kekurangan berdepan lawan yang
diperkuatkan oleh empat pemain import, namun beliau sama sekali tidak akan
mengibar bendera putih.
"Buat masa ini saya hampir
pasti kehilangan Pantelidis dan Andik, manakala Shahrom Kalam masih di tahap
50-50 dan Gurusamy dijangka terpaksa berehat sehingga penghujung tahun ini .
"Begitupun nasibnya
(Gurusamy) bergantung kepada imbasan MRI yang akan dijalankan hari ini.
"Kita akan meneruskan
dengan pemain-pemain yang ada walaupun Selangor tidak memiliki sebuah skuad
yang besar dan sebahagiannya terdiri daripada pemain muda.
"Paling memeningkan kepala
saya, siapakah yang boleh bermain di tempat Gurusamy kerana pilihan yang ada
hanyalah Abdul Shukor Jusoh, namun dia sudah dua minggu tidak beraksi, "
kata Mehmet pada sidang akhbar menjelang perlawanan di antara Selangor dan Hanoi
T&T di Stadium Shah Alam, semalam.
Satu lagi kekalahan boleh
meletakkan Red Giants berada di ambang penyingkiran jika satu perlawanan
menyaksikan Arema Indonesia menumpaskan kelab Maldives, Maziya SR&C.
Selangor sekadar meraih dua
mata daripada tiga perlawanan untuk menduduki tangga ketiga Kumpulan F.
Justeru, Mehmet akan
mengamalkan permainan menyerang malam ini dengan misi memburu jaringan awal
ke atas Hanoi T&T.
"Kita memang tiada pilihan
lain, sebaik wisel permainan ditiupkan, kita akan cuba mendapatkan gol seawal
permainan supaya dapat memberi tekanan ke atas lawan.
"Tiga mata di tempat
sendiri cukup penting selepas kita gagal meraih sebarang kemenangan sebelum
ini. Walaupun saya sedar pemain kepenatan mengharungi jadual yang padat, namun
saya yakin mereka masih bersemangat tinggi untuk menang, " katanya.
Hanoi T&T diperkuatkan
pemain import Australia yang merupakan bekas pemain Central Coast Mariners dan
Melbourne Victory, Sam Gallagher, pemain antarabangsa Trinidad & Tobago,
Hughtun Hector, Gonzalo Damian Marronkle dari Argentina dan pemain dari
Croatia, Goran Gruica.
Selain itu, Hanoi T&T
mempunyai lima pemain kebangsaan Vietnam, Nguyen Van Bien, Bui Van Hieu, Cao
Sy Cuong, Pham Thanh Luong dan bintang muda negara itu, Nguyen Van Quyet.
RUJUKAN;
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140401/su_03/Selangor-tempang-jumpa-Hanoi#ixzz2xd4OfYMJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment