2 Jun 2014
WAKIL kelab Felda United FC
akan menjual tiket final Piala FA kepada penyokong mereka di Menara Felda,
Jalan Tun Razak di sini bermula lewat petang esok.
Pengurus pasukan Datuk
Jamaludin Ahmad berkata baki tiket perlawanan yang tidak terjual akan diagih kepada
pengurus wilayah Felda di seluruh negara untuk dijual kepada penyokong pasukan
itu.
Felda akan menentang Pahang
pada aksi final Piala FA 2014 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
"Kita berharap penyokong
kita turun beramai-ramai ke Shah Alam Sabtu ini untuk memberi sokongan kepada
pasukan Felda United FC yang layak beraksi buat julung kali pada final Piala
FA," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Naib Presiden
Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) Datuk Akbar V.V. Abu berkata pihaknya akan
menjual tiket perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan dan Stadium Mini
Temerloh mulai Rabu ini.
Beliau berkata satu mesyuarat
akan diadakan esok untuk memastikan kaedah agihan tiket untuk penyokong skuad
'Tok Gajah'.
"Menerusi mesyuarat ini,
kita akan menentukan jumlah tiket yang akan diperuntukkan bagi setiap kaunter
di dua stadium itu selain jumlah tiket yang bakal diagihkan kepada setiap
persatuan bola sepak di setiap daerah seluruh Pahang," katanya.
Pada mesyuarat Jawatankuasa
Pengelola Final Piala FA 2014 yang diadakan hari ini, FAM memperuntukkan 30,000
tiket untuk setiap pasukan dengan baki 10,000 lagi dijual menerusi dalam talian
di www.tickethotline.com.my.
Harga tiket bagi dewasa
ditetapkan pada RM40 manakala kanak-kanak RM5.
Pahang mara ke final selepas
mencatat kemenangan agregat 2-1 ke atas finalis musim lepas, Johor Darul
Ta'zim, sementara Felda United FC ke final berdasarkan peraturan gol di tempat
lawan, setelah terikat agregat 5-5 dengan Kelantan. - Bernama
No comments:
Post a Comment