ROSMAH Mansor bersama Suwaibah
Muhammad Nasir (depan, empat dari kanan) bergambar bersama kakitangan Yayasan
Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) di Riva Sette De Marite, Venice, semalam. -
BERNAMA
VENICE 3 Jun - Isteri Perdana
Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berharap kisah kejayaan pelari solo negara
Suwaibah Muhammad Nasir yang berjaya menyempurnakan Larian Terusan Sutera
Merentasi Laluan Marco Polo (Larian Aroma), akan menjadi model peranan dan
memberi ilham kepada lebih banyak wanita Malaysia untuk mencapai kejayaan lebih
besar.
Katanya walaupun terpaksa
meredah laluan paling sukar dan menghadapi cabaran serta rintangan yang amat
dahsyat, namun bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berjaya
mengatasinya dengan berkat kekuatan fizikal dan mental yang dimilikinya.
Rosmah, yang juga penaung
Larian Aroma itu berkata, kejayaan Suwaibah menepati semangat 'Malaysia Boleh'
dan mempamerkan keberanian serta keazaman wanita Malaysia dalam mengharungi
cabaran untuk mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang.
"Suwaibah mewakili wanita
Malaysia yang bebas dan berazam tinggi. Beliau telah mencatat banyak kejayaan
cemerlang dan setakat ini mencatat 10 rekod dalam Malaysia Book of Records.
Kini, beliau dalam perjalanan untuk mencatat rekod dalam Guinness World Book of
Records sebagai wanita Malaysia pertama berlari solo merentasi laluan
perdagangan yang amat bersejarah itu.
"Ini bukan tugas mudah dan
oleh itu ia patut menjadi kebanggan seluruh rakyat Malaysia," katanya
selepas menyambut Suwaibah di garisan penamat larian itu di Riva Sette De
Marite di sini pada pukul 3.55 petang waktu tempatan (9.55 malam waktu
Malaysia) hari ini.
Suwaibah, yang memulakan larian
itu di Beijing pada 30 Mac lepas, berlari merentasi empat benua dan 12 negara,
termasuk China, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Turki,
Bulgaria, Serbia, Croatia, Slovenia dan Itali sejauh 3,333 kilometer. Beliau
berlari 50 kilometer sehari di laluan Sutera.
Bertemakan 'One World One
Hope', Suwaibah berharap dapat memupuk keamanan dunia dan menyebarkan mesej
keamanan ketika merentasi setiap negara dan berjumpa dengan masyarakat daripada
pelbagai agama, bangsa dan budaya.
Rosmah berkata, Larian Aroma
yang dilakukan Suwaibah itu juga adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-40
hubungan diplomatik Malaysia-China pada 31 Mei.
"Adalah sesuatu yang amat
menggembirakan apabila mengetahui misi Suwaibah terbukti berjaya dan beliau
mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada negara terbabit.
"Sambutan meriah,
persahabatan dan motivasi yang beliau terima di China berulang di semua negara
yang beliau rentasi. Malah, Suwaibah mendapat sokongan dan galakan yang
melimpah ruah daripada penduduk tempatan di sepanjang Laluan Sutera,"
katanya.
Rosmah, yang juga penaung
Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), mengucapkan tahniah kepada Suwaibah
kerana kejayaan cemerlangnya dalam larian solo itu.
"Saya bangga kerana nama
seorang wanita Malaysia akan tercatat di dalam rekod dan menjadi sebahagian
daripada sejarah Laluan Sutera," katanya.
Sementara itu, Suwaibah
menyifatkan perjalanan yang diharunginya sebagai 'panjang serta amat
memeritkan'.
Beliau mengucapkan terima kasih
kepada Rosmah dan mereka yang membantu serta menyokong misinya itu.
"Hari ini, saya gembira
kerana berada di sini setelah meredah muka bumi yang amat menyukarkan dan
berjaya mengatasi semua cabaran dahsyat, terutama keadaan cuaca serta iklim di
setiap negara.Daripada perjalanan indah ini, saya banyak belajar tentang
kehidupan," katanya.
Suwaibah menghadiahkan sebuah
buku 'coffee table' bertajuk 'Nafasku Mencari Damaimu' kepada Rosmah. Buku itu
mengandungi koleksi foto yang dirakam di sepanjang larian tersebut. - BERNAMA
RUJUKAN
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140604/dn_02/Suwaibah-beri-inspirasi-kepada-wanita---Rosmah#ixzz33fCsorfJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment