Lapan penjelajah rakyat
Malaysia yang menyertai Misi Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B)
Felda Greenland 2014 meraikan kejayaan mereka sejurus tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),Sepang, semalam.
SEPANG 3 Jun - Semangat juang
dan jati diri yang tinggi menjadi 'senjata' terakhir lapan penjelajah muda
negara untuk menamatkan Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B) Felda
Greenland 2014 membabitkan perjalanan mengharungi 'gurun' ais sejauh 540
kilometer (km).
Ekspedisi selama 27 hari itu
disertai lapan penjelajah muda diketuai oleh Yanizam Mohamad Supiah, 29;
Muhamad Shaiful Hisyam Abd. Aziz, 25; Abdul Rahman Abu Hassan, 31 dan Tahira
Najmunisaa Muhammad Zaid, 25.
Turut menyertai misi itu ialah
Mohd. Akasyah Jamaludin, 25; Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, 34; Muhammad
Musaddiq Samsudin, 25, dan Muhd. Hafizuddin Abdul Muthalib, 25.
Mereka berjaya memahat nama
dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai kumpulan pertama dari negara ini
yang merentasi pulau ais terbesar di dunia itu.
Menurut Yanizam, ekspedisi
tersebut hampir dibatalkan selepas beberapa penjelajah mengalami masalah
kesihatan, namun berbekalkan kekuatan fizikal dan mental, situasi sukar
tersebut berjaya diatasi.
"Ekspedisi ini hampir
dibatalkan ekoran masalah kesihatan selepas beberapa penjelajah mengalami
masalah buasir, melecet teruk dan batuk berdarah akibat perubahan cuaca selain
perlu mengangkat bebanan yang berat antara 70 hingga 80 kilogram.
"Bagaimanapun, situasi ini
dapat diatasi dengan mengambil ubat, banyak minum air dan mendapatkan rehat
yang cukup supaya badan dapat pulih sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam
sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari
ini.
Yang hadir sama, Penasihat
Kehormat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mokhles; Presiden KE7B, Muhammad Muqharabbin
Mokhtaruddin dan Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi dan Generasi Baru Felda,
Amir Hamdan Yusof.
Yanizam berkata, sebelum
memulakan ekspedisi tersebut, kekuatan mental mereka diuji apabila dimaklumkan
dua kumpulan penjelajah dari United Kingdom dan Belanda terpaksa menarik diri
selepas masing-masing mengalami masalah reput fros dan kecederaan lutut.
Namun katanya, atas semangat
cintakan tanah air dan ingin membawa nama negara ke persada dunia, ujian
tersebut tetap ditempuh sehingga berjaya menamatkan misi tersebut.
Dalam pada itu, peserta tunggal
wanita, Tahira Najmunisaa berkata, beliau tidak menganggap dirinya sebagai
beban dalam kumpulan itu tetapi bekerja dalam satu kumpulan dengan penjelajah
lain bagi mengharungi setiap detik.
Katanya, beliau bertuah kerana
suaminya, Abdul Rahman yang turut serta dalam ekspedisi tersebut banyak memberi
bantuan ketika menghadapi masalah terutama ketika melecet di bahagian kaki.
"Dari segi stamina dan
mental, saya memang telah dipersiapkan dari awal lagi serta tidak mempunyai
sebarang masalah cuma pada hari keempat dan kelima ekspedisi itu, saya
menghadapi masalah melecet di kedua-dua tumit sehingga terpaksa mengurangkan beban
muatan yang dibawa dan meminta bantuan suami untuk membawanya," katanya.
Sementara itu, seorang lagi
penjelajah, Muhamad Shaiful Hisyam yang juga anak peneroka Felda Gedangsa, Hulu
Selangor, bersyukur kerana selain berjaya menamatkan ekspedisi tersebut, beliau
juga mendapat berita gembira bakal bergelar bapa.
"Semalam, ketika
menghubungi isteri, saya dapat berita gembira yang dia sudah hamil dua bulan.
Berita gembira ini hadir seiring dengan kejayaan kami semua yang berjaya
menjadi kumpulan pertama dari Malaysia menakluk Greenland," katanya.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140604/dn_23/Penjelajah-KE7B-selamat-pulang-ke-tanah-air#ixzz33f0hLi4A
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment