LONDON - Bekas bintang
penyerang England, Gary Lineker percaya, Roy Hodgson sepatutnya
mempertimbangkan secara serius untuk menggugurkan Wayne Rooney daripada skuad
ke Piala Dunia Brazil.
Bekas tonggak Barcelona dan
Tottenham itu menegaskan, Hodgson tidak perlu berasa takut-takut untuk
meninggalkan penyerang Manchester United itu yang gagal menunjukkan
memberangsangkan sepanjang musim ini.
Lineker, 53, ketika menulis
dalam Twitternya berkata, dia berharap penyerang Liverpool, Daniel Sturridge
akan menjadi pilihan pengendali England itu untuk mengetuai jentera The Three
Lions sepanjang kempen Piala Dunia.
"Saya rasa Sturridge
memberikan kita pilihan yang berbeza. Dia mampu menjadi ancaman dari posisi
yang sangat penting, perkara yang jarang dilakukan oleh Rooney.
"Dia (Rooney) pemain yang
bagus dalam mencipta gerakan, melakukan hantaran jauh dan membawa rakan-rakan
mengikut rentak permainannya, tetapi daripada segi kemampuan memberi ancaman
kepada pertahanan lawan, Sturridge lebih unggul," ujar Lineker, yang telah
meledak 48 gol daripada 80 penampilan bersama England sejak 1984 hingga 1992.
Pada ketika Lineker percaya,
Sturridge patut diberi peranan sebagai penyerang utama, dia mengakui, Hodgson
akan menghadapi kesukaran untuk mencari slot yang sesuai untuk dimainkan oleh
Rooney.
"Kalau Sturridge mengetuai
sistem anda, di mana Rooney akan diletakkan?.
"Wayne boleh bermain di
mana-mana posisi, dia boleh bermain di sebelah kanan, kiri atau tengah.
"Namun persoalannya,
tidakkah anda sudah memiliki pemain yang lebih bagus di posisi ini selain Wayne
Rooney?.
"England memiliki beberapa
pilihan kerana kami juga ada (Raheem) Sterling dan (Adam) Lallana. Jangan
dilupa juga kehadiran (Danny) Welbeck, jadi siapa yang akan menjadi pilihan Roy
untuk membarisi pasukannya?.
"Saya tidak menjangkakan
Rooney akan bermain di bahagian kiri kerana dia perlu menguasai kawasan yang
besar, jadi melihat apa yang bakal dilakukan oleh Roy pada Piala Dunia nanti, adalah
sesuatu yang menarik untuk diikuti.
"Tidak mustahil juga, dia
kembali menggunakan formasi ketika England menentang Itali, dua tahun lalu
(Kejohanan Eropah), di mana dua penyerang diturunkan dan Rooney akan mengisi
salah satu daripada slot tersebut.
"Ada beberapa kemungkinan,
jadi kita tunggu dan lihat," katanya lagi.
England akan memulakan kempen
Piala Dunia dengan menentang Itali pada 14 Jun ini.
Skuad The Three Lions turut
diletak dalam Kumpulan D bersama Uruguay dan Costa Rica.
- AGENSI
RUJUKAN-ArtikelPenuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140604/sl_02/Hodgson-patut-gugurkan-Rooney#ixzz33dgvDJma
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment