ROSILAWATI ROSEDI
1 Jun 2014
Luciano Figueroa (JDT, kanan)
dan Matias Conti (Pahang) cuba menanduk bola pada aksi separuh akhir kedua di
Kuantan. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI Luciano Figueroa (JDT, kanan) dan
Matias Conti (Pahang) cuba menanduk bola pada aksi separuh akhir kedua di
Kuantan. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
KERJA keras dan bermain satu
pasukan menjadi formula kejayaan skuad Tok Gajah melangkah ke pentas final
Piala FA 2014 selepas menundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT), 1-0 di Stadium
Darul Makmur, malam kelmarin.
Pada saingan separuh akhir
kedua itu, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan mara ke perlawanan akhir akhir
dengan agregat 2-1 sekali gus menebus kehampaan musim lalu di tangan lawan
sama.
Zainal memberitahu, pemain
mempamerkan komitmen dan keazaman tinggi untuk melakar kejayaan di hadapan
penyokong sendiri.
“Walaupun skuad ini dikatakan
tempang kerana ketiadaan tiga tonggak utama, namun mereka (pemain) buktikan
kesungguhan dan bekerja keras hingga mampu menebus duka musim lalu.
“Saya bangga dan gembira dengan
komitmen mereka walaupun sebelum ini sedikit gusar apatah lagi dua pertemuan
menentang Selangor dan Terengganu tidak memihak Pahang,” katanya.
Bekas pemain kebangsaan itu
memberitahu, pemain berjaya menyerap tekanan dan tidak terikut-ikut dengan
rentak Harimau Selatan.
Menurutnya lagi, pemain juga
mampu mengawal permainan dan berusaha keras khususnya pada babak kedua sehingga
berjaya membolosi gawang lawan.
“Saya berterima kasih kepada
pemain dan mengharapkan mereka mempamerkan aksi terbaik apabila beraksi di
pentas final nanti,” katanya.
SINAR HARIAN ONLINE 1.6.14
No comments:
Post a Comment