Oleh radhuan hussain
pengarang@utusan.com.my
Abdul Hadi Awang (kanan)
bersalaman dengan para peserta Seminar Pelaksanaan Syariah Islam di Masjid
Jamek Tok Jiring Kuala Terengganu, Terengganu, semalam. - MINGGUAN/Shaifudin
Mohd. Nor
Advertisement
KUALA TERENGGANU 6 Sept. -
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap mempertahankan keputusan Majlis
Syura Ulama, badan tertinggi parti itu yang turut menamakan wakil Pas sebagai
calon Menteri Besar Selangor meskipun tidak disenangi oleh sebahagian kelompok
dalam kepimpinan parti itu.
Tegasnya, sebarang keputusan
berkaitan soal seumpama itu sebenarnya turut tertakluk kepada kuasa dan budi
bicara beliau sendiri selaku presiden parti.
Menurut Abdul Hadi, perkara itu
menjadi tradisi parti berkenaan yang diamalkan oleh pucuk pimpinan Pas
terdahulu sejak 1959 sehingga sekarang.
Jelasnya, tidak terkecuali
Barisan Nasional (BN) turut berbuat demikian menerusi perbincangan antara
presiden parti dengan para pemimpin terutama melibatkan pemimpin di negeri yang
berkenaan sebelum membuat keputusan.
"Itu amalan parti (Pas)
sejak 1959, saya (Presiden Pas) ikut tahun 1959, seterusnya 1964, 1969, 1974,
1982 dan 1990. Kita perintah Kelantan di mana pelantikan MB (Menteri Besar)
diserahkan kepada presiden parti (Pas).
"BN juga begitu, budi
bicara presiden parti dan beberapa pimpinan yang dibincangkan khususnya
berkaitan negeri yang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Seminar Pelaksanaan Syariah Islam di Masjid Jamek Tok Jiring di
Kompleks Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman, dekat sini hari ini.
Abdul Hadi diminta mengulas
kenyataan timbalannya, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang
mempersoalkan keputusan Majlis Syura Ulama mencadangkan Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) daripada parti itu sebagai salah seorang daripada tiga calon Menteri
Besar Selangor.
Menurut Mat Sabu, Ahli
Jawatankuasa Pas Pusat tidak tahu mengenai perkara itu kerana tidak diputuskan
dalam mesyuarat badan yang mengendalikan urusan pentadbiran dan strategi parti
berkenaan.
Pendirian Majlis Syura Ulama
dan Abdul Hadi itu difahamkan atas alasan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak mempunyai keupayaan untuk memikul
tanggung jawab berat itu dan penyerahan tiga nama kepada pihak istana adalah
bagi memenuhi titah Sultan Selangor.
Ditanya langkah Pas untuk
menangani masalah percanggahan pendapat berhubung perkara itu dalam parti
sendiri, Abdul Hadi berkata, hal itu perlu kembali dirujuk kepada Perlembagaan
parti.
Ketika diminta mengulas
mengenai penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) akan menjurus
kepada penubuhan sebuah parti politik yang dikatakan akan menyebabkan Pas
berpecah dua (antara kumpulan ulama dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim),
beliau berkata, itu terserah kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Ini amalan negara
demokrasi, terpulang kepada Pendaftaran Pertubuhan sama ada nak terima atau
tidak. Itu biasalah dalam negara demokrasi ini, ada parti-parti politik,"
ujarnya.
Ditanya kemungkinan Pasma akan
menyamai penubuhan Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) pada 1977
ekoran krisis politik Pas di Kelantan, beliau menjawab: "Dulu Berjasa
ditaja oleh BN, ini saya tak tahu lagi sama ada (Pasma) ditaja BN."
Abdul Hadi turut yakin penubuhan
Pasma tidak akan menggugat Pas kerana parti yang diterajuinya itu mempunyai
kekuatan akar umbi di seluruh negara.
Sumber-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140907/po_01/Alasan-Hadi-tolak-Wan-Azizah#ixzz3Ca9GVJaE
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment