Oleh Rozaman Ismail
Esok, 31 Ogos 2014, rakyat
Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-57. Seperti
kebiasaannya, hari ini pelbagai acara sambutan pra kemerdekaan sudah disusun di
setiap negeri sementara menanti detik 12 tengah malam.
Walaupun sambutan ambang
merdeka dilihat sebagai acara yang dinanti-nantikan esok, sebenarnya tradisi
menyambut ulang tahun kemerdekaan ini bermula dengan program-program berbentuk
keagamaan.
Majlis tahlil, bacaan Yasin dan
doa selamat diadakan di masjid dan surau. Pertubuhan agama lain turut
menganjurkan program mengikut kepercayaan agama masing-masing.
Pada sebelah malamnya pula
orang ramai berkumpul di tempat-tempat tumpuan di seluruh negara menunggu detik
12 tengah malam.
Tahun ini kebanyakan penganjur
mengadakan sambutan ambang merdeka secara sederhana dan penuh keinsafan bagi
menghormati mangsa tragedi pesawat MH17 dan mengenang nasib MH370.
Pagi esok, ada acara besar yang
sentiasa ditunggu-tunggu, perbarisan dan perarakan Hari Kemerdekaan - satu
acara ikonik turun temurun sejak 31 Ogos 1957.
Sejak dari zaman sekolah
kebangsaan lagi, penulis amat tertarik dengan acara ini. Walaupun sekadar
menonton menerusi kaca televisyen hitam putih, ini adalah acara yang sangat
dinanti-nantikan oleh semua orang pada setiap 31 Ogos.
Semua akan bangun awal dan
menunggu siaran langsung ini. Sehingga sekarang pun masih berbekas di ingatan.
Menonton siaran langsung, acara
ini kelihatan amat meriah dan sangat mengujakan. Maka ramailah yang menyimpan
impian untuk berada di Padang Kelab Selangor (ketika itu) bagi turut serta,
tidak kiralah sebagai peserta atau penonton!
Setiap kontinjen (yang pada
masa itu biasanya diwakili oleh jabatan dan agensi-agensi kerajaan) berbaris
dan berarak sepanjang Jalan Raja di hadapan Dataran Merdeka. Mereka diiringi
pasukan pancaragam sama ada daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis
Diraja Malaysia (PDRM) atau pancaragam sekolah. Suasananya cukup meriah.
Orang ramai daripada pelbagai
lapisan masyarakat yang datang semuanya berpakaian cantik-cantik, seolah-olah
mahu 'pergi beraya.' Kanak-kanak dengan uniform sekolah masing-masing berbaris
panjang sambil mengibarkan Jalur Gemilang bersaiz mini.
Walaupun berdiri dalam panas
terik, mereka tidak berganjak dan kelihatan amat bersemangat.
Kontinjen tumpuan pada masa itu
sudah pastilah tiga sayap ketumbukan dalam ATM dan PDRM.
Lengkap beruniform dan memegang
erat senjata, mereka kelihatan sungguh segak. Bunyi derap kawad mereka senada
dan tegas. Apabila melintasi pentas utama yang menempatkan Yang di-Pertuan
Agong dan Raja Permaisuri Agong serta pembesar-pembesar negara yang lain,
mereka serentak memberi tabik hormat. Ketika itu juga, di udara, bunyi bingit
enjin jet-jet pejuang membuat lintas hormat.
'Inilah Barisan Kita' adalah
lagu popular yang mengiringi kebanyakan kontinjen yang mengambil bahagian.
Iramanya melantun-lantun dan melekat dalam ingatan sampai sekarang. Lagu
tersebut sungguh sinonim dengan acara perbarisan dan perarakan Hari
Kemerdekaan. Ada satu macam rasa yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata
setiap kali melihat pasukan keselamatan negara berbaris diiringi lagu tersebut.
Tiba-tiba sahaja semuanya bercita-cita mahu menjadi askar!
Sambutan hari besar ini sudah
melalui pelbagai perubahan dalam tempoh 57 tahun ini. Jumlah penyertaan tidak
lagi terhad kepada jabatan dan agensi kerajaan sahaja. Banyak syarikat korporat
dan swasta mengambil bahagian. Mereka tampil dengan pelbagai idea dan
pembaharuan. Macam-macam segmen persembahan juga diperkenalkan tetapi masih
terikat dengan tema sambutan.
Setelah memasuki alam
pekerjaan, penulis sempat beberapa kali ke Dataran Merdeka untuk membuat
liputan sambutan. Suasananya tetap panas, meriah dan penuh warna-warni. Orang
ramai masih berasak-asak berbaris di sepanjang Jalan Raja hingga ke bangunan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Ada yang menjadikan hari tersebut sebagai hari
santai untuk sekeluarga.
Walaupun acara sambutan Hari
Kemerdekaan ini sudah menjelajah ke beberapa buah negeri lain sejak amalan
penggiliran tuan rumah diperkenalkan, sambutan di Dataran Merdeka tetap istimewa,
paling meninggalkan kesan dan kenangan tersendiri. Lokasi itu sangat unik.
Kedudukan Bangunan Sultan Abdul
Samad yang setentang dengan Dataran Merdeka melengkapkan suasana sambutan
bersejarah itu.
Ramai penduduk dari negeri lain
sanggup datang untuk bersama-sama dalam sambutan ini. Pelancong-pelancong luar
juga tidak melepaskan peluang merakamkan detik-detik bersejarah ini. Pekerja
asing termasuk yang bekerja secara haram pun tidak mahu ketinggalan.
Sesetengahnya melaram sakan.
Bagaimanapun adakah minat yang
sama masih ada dalam kalangan penduduk kota sendiri? Ada yang berpandangan
warga kota akan lari keluar kota jika ada cuti panjang termasuk cuti umum Hari
Kemerdekaan. Sebahagiannya pula lebih suka menghabiskan masa bermalas-malas di
rumah daripada bersesak-sesak dan berpanas di Dataran Merdeka.
Perkara yang sama juga
dikatakan berlaku dalam kalangan generasi muda dan kelas pertengahan? Mereka
katanya tidak lagi berminat untuk mengambil tahu apatah lagi mengambil
bahagian. Mereka tidak lagi melihat sambutan sedemikian penting.
Kira-kira 14,000 orang daripada
pelbagai latar belakang akan terlibat dalam sambutan esok. Jumlah tersebut
besar, sekali gus menggambarkan sambutan ini penting untuk rakyat Malaysia.
Penyertaan yang melibatkan semua pihak adalah simbolik kepada perpaduan,
keharmonian dan kemakmuran hidup rakyat Malaysia sendiri.
Acara sambutan ini hanyalah
sekali dalam setahun. Jika tahun lepas sebahagian daripada kita terlalu sibuk
dengan macam-macam kekangan untuk mengambil peduli acara ini, apa kata esok
kita beramai-ramai turun memeriahkan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-57.
Bawalah anak-anak sekali. Biar mereka menikmati 'keindahan' sebuah kemerdekaan.
Rasanya sebahagian besar
daripada kita pun sudah lama tidak menyaksikan sambutan ini secara langsung di
depan mata. Inilah peluang terbaik. Lagipun lusa cuti ganti. Kalaupun penat
'berpanas dan berhujan' setengah hari di Dataran Merdeka, masih ada sehari
untuk berehat panjang. Acara rumah terbuka Aidilfitri pun sudah berakhir. Tidak
perlu lagi terkejar-kejar lagi dari satu rumah ke satu rumah.
Bagaimana dengan penulis
sendiri? Seawal pukul 7 pagi esok, insya-Allah penulis dan keluarga sudah siap
berbaris di hadapan Dataran Merdeka.
Sumber-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140830/re_03/Mengimbau-nostalgia-di-Dataran-Merdeka#ixzz3C3cZOYeN
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment