Oleh Malik Muhamad
Kuala Terengganu: Skuad Harimau
Malaya nyaris dimalukan Terengganu sebelum menang 4-3, dalam perlawanan
persahabatan untuk mengutip dana tabung kebajikan di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, di sini, malam tadi.
Sebaik sepak mula, skuad
Harimau Malaya kendalian Dollah Salleh bermula garang apabila nyaris mendahului
tuan rumah menerusi tandukan Shukor Adam pada minit ke-14 dan diikuti cubaan
Mohd Amri Yahya dua minit kemudian namun tidak menepati sasaran.
Pasukan tuan rumah yang
menurunkan penggempur tempatan mula mengorak langkah dengan beberapa cubaan
berbahaya melalui gandingan penyerang, Mohd Ashari Shamsuddin dan Ismail
Faruqi, namun dinafikan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias.
Hasil gerakan solo Mohd Syafiq
Rahim, kapten pasukan kebangsaan itu kemudiannya menghasilkan gol pertama pada
minit ke-31 sekali gus menggamatkan lebih 10,000 penonton yang hadir
menyaksikan perlawanan itu.
Harimau Malaya terus menguasi
permainan dan menambah jaringan kedua empat minit kemudian menerusi rembatan
cantik pemain pertahanan, Mohd Azmi Muslim selepas mendapat umpanan Joseph
Kalang Tie.
Tersentak dengan dua jaringan
itu pasukan tuan rumah memperkemaskan asakan dan hasilnya pada minit ke-38
Terengganu dihadiahkan sepakan penalti disempurnakan Ismail Faruqi selepas Mohd
Faiz Subri dijatuhkan Mohd Afif Amiruddin.
Selepas gol pertama itu, skuad
Penyu terus mengganas dengan menyamakan kedudukan menerusi rembatan cantik Mohd
Ashari Samsudin dari luar kotak penalti.
Pemain sayap, Mohd Faiz Subri
menambah derita skuad kebangsaan pada babak pertama dengan jaringan ketiga pada
minit ke-45 menerusi tandukan apabila menerima hantaran kapten Zairo Anuar
Zailani melalui sepakan percuma.
Babak kedua, Harimau Malaya
membuat sebelas pertukaran dengan memasukkan antaranya Mohd Safee Sali, Mohd
Badhri Radzi, Ronny Harun dan Khairul Fahmi Che Mat dan penyerang Terengganu,
Abdul Manaf Mamat untuk mencari jaringan.
Hasilnya pemain tengah Kelantan
Mohd Badhri dan Abdul Manaf masing-masing menghasilkan satu jaringan pada minit
ke-53 dan 58 untuk menafikan hajat besar Terengganu mencipta kejutan.
Sumber-
Artikel ini disiarkan pada :
2014/09/24
No comments:
Post a Comment