Dollah pening pilih 22 pemain
terbaik
WARTAWAN SINAR HARIAN
26 September 2014
Aksi Safiq Rahim ketika
perlawanan persahabatan menentang Terengganu. Aksi Safiq Rahim ketika
perlawanan persahabatan menentang Terengganu.
MESKIPUN sudah mempunyai
bayangan 22 pemain bagi menyarung jersi kebangsaan, namun pengendalinya, Dollah
Salleh belum bersedia mengumumkan senarai skuad Harimau Malaya sehingga 6
Oktober.
Menurutnya, keputusan itu
dibuat setelah mendapati ramai dalam kalangan pemain yang diturunkan pada aksi
perlawanan amal bertemu Terengganu kelmarin, mempamerkan prestasi luar biasa
dalam merebut slot skuad kebangsaan menghadapi Piala Suzuki AFF 2014 di
Singapura November depan.
“Walaupun keadaan ini sedikit
memeningkan saya, tetapi saya lihat ia satu petanda positif buat pasukan
apabila rata-rata pemain berjaya membuktikan kebolehan sebenar.
“Kalau di bahagian serangan,
saya tidak mempunyai masalah kerana kita sudah kenal pasti siapa mereka, tetapi
kita berkemungkinan akan membuat sedikit rombakan di bahagian tengah kerana
saya lihat hampir kesemua pemain di posisi ini mampu beraksi dengan baik,”
katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan itu.
Mengulas perlawanan amal itu,
bekas ketua jurulatih Pahang itu mengakui kehadiran skuad kebangsaan ke
Terengganu tidak sia-sia apabila berjaya menguji kesemua pemainnya sepanjang
permainan berlangsung.
“Secara keseluruhannya selepas
kita mengharungi tiga perlawanan ketika bertemu Indonesia, Kemboja dan
Terengganu, saya cukup berpuas hati dengan prestasi pemain.
“Jadi selepas kita mengumumkan
22 pemain itu nanti, barulah saya akan terus memberi perhatian terhadap skuad
Harimau Malaya termasuk menetapkan formasi pasukan,” katanya.
Pada perlawanan amal itu, skuad
Harimau Malaya terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Safiq Rahim pada minit
ke-31 hasil lorongan cantik Joseph Kalang Tie.
Empat minit berselang, skuad
bimbingan Dollah Salleh berjaya melebarkan kedudukan menerusi gol kedua hasil
jaringan benteng pertahanan, Mohd Azmi Muslim.
Begitu pun kem tuan rumah
memberi tentangan sengit merapatkan jurang gol melalui sepakan penalti yang
disempurnakan dengan kemas Ismail Faruqi pada minit ke-38 dan Mohd Ashaari
Shamsuddin menceriakan penyokong Terengganu apabila menjaringkan gol penyamaan
lima minit selepas itu (minit 43).
Selang dua minit, Mohd Faiz
Subri kembali menggamatkan stadium setelah membawa Terengganu di depan dengan
gol ketiga.
Namun kegembiraan tuan rumah
tidak kekal lama apabila pasukan kedua Dollah Salleh mengikat kedudukan
menerusi Mohd Badri Radzi pada minit ke-54, manakala penyerang kelahiran
Terengganu, Abdul Manaf Mamat menghadiahkan gol kemenangan Harimau Malaya empat
minit selepas itu.
Sumber-Sinar Harian online 26.9.14
No comments:
Post a Comment