Model tugu negara gembira dapat
rumah
MOHD. Noor Daud (berdiri, dua
dari kiri) beramah mesra dengan (duduk, dari kiri) Zainal Buyong, Mohd. Sabri
Bedollah dan Kholib Che Nan dalam majlis penyerahan bantuan Program Membaik
Pulih Rumah Veteran 1Malaysia NBOS kepada veteran ATM Pahang di Raub, kelmarin.
RAUB 12 Sept. - Setelah sekian
lama mendiami rumah serba uzur, seorang pesara tentera yang pernah menjadi
model Tugu Negara, Zainal Buyong, 81, kini mampu menarik nafas lega apabila
berpeluang tinggal di kediaman baharu yang jauh lebih selesa hasil sumbangan
kerajaan.
Pembinaan rumah baharu
membabitkan kos RM45,000 itu diselenggarakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran
Angkatan Tentera Malaysia (JHEV-ATM) menerusi Program Membaik Pulih Rumah
Veteran 1Malaysia Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
Majlis penyerahan kunci rumah
kepada Zainal bersama dua lagi pesara tentera dari sekitar daerah ini
disempurnakan oleh Ketua Pengarah JHEV-ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud
di sini semalam.
Ketika ditemui pemberita
selepas majlis itu, Zainal yang tinggal di Kampung Kuala Atok di sini berkata,
pemberian rumah baharu yang mempunyai tiga bilik itu amat bermakna kerana
memberikan keselesaan kepadanya sekeluarga.
Beliau yang menjadi model
memegang bendera Malaysia di Tugu Negara berkata, tanpa sumbangan ini dia yang
hanya mengharapkan kepada kerja kampung dan bantuan kebajikan sudah tentu tidak
akan dapat membina sebuah rumah.
"Saya cukup bersyukur
kerana rumah ini amat selesa berbanding rumah lama yang uzur sehingga kami
terpaksa mencari tempat berlindung sekiranya hujan. Dinding dan kayu rumah
dahulu juga telah dimakan anai-anai sehingga hampir roboh ditimpa dahan durian
tahun lalu.
"Justeru pemberian rumah
kepada saya ini membuktikan keprihatinan kerajaan khususnya JHEV-ATM yang
sentiasa menghulurkan bantuan termasuklah sara hidup dan perubatan,"
katanya.
Mengenai kisahnya menjadi model
Tugu Negara, Zainal berkata, peristiwa itu berlaku ketika berkhidmat di sebuah
kem di ibu negara pada tahun 1958 setelah diarahkan oleh pegawai bertugas.
"Arahan ini berikutan
permintaan pengukir dari Austria yang mahukan askar sebenar sebagai panduan
dalam membuat ukiran Tugu Negara.
"Maka saya bersama empat
lain membuat aksi seperti mana kelihatan pada Tugu Negara dengan yang berdiri
di tengah sambil memegang bendera adalah 'saya'," jelasnya sambil
tersenyum mengingati peristiwa lebih separuh abad itu.
Dalam pada itu, seorang lagi
penerima, Mohd. Sabri Bedollah, 54, yang tinggal di Kampung Paya Keladan,
Temerloh berkata, pemberian bantuan rumah berkenaan telah memenuhi impiannya
untuk mempunyai rumah sendiri sejak sekian lama.
Dia yang berkhidmat sebagai
tentera dari 1980 hingga 1998 berkata, selama ini dia hanya mampu tinggal di
rumah sewa dan tidak pernah termimpi untuk mendapat rumah sendiri.
"Saya amat berterima kasih
kepada kerajaan yang tidak pernah melupakan kami. Ini adalah hadiah paling
bermakna dalam hidup saya sebagai seorang veteran tentera," katanya yang
kini bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Seorang lagi penerima, Kholib
Che Nan, 58, berkata, pemberian rumah berkenaan merupakan satu anugerah
bermakna kepadanya sekeluarga selepas rumah yang didiaminya sebelum ini di
Kampung Kuala Lurah, Bentong musnah dalam kebakaran.
Dia yang berkhidmat sebagai
tentera dari 1977 hingga 1992 berkata, pembinaan rumah baharu yang dilakukan
pihak JHEV memberi harapan baharu kepadanya sekeluarga.
SUMBER-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140913/dn_14/Model-tugu-negara-gembira-dapat-rumah#ixzz3D9MPx7VQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment