Ad

Sunday, 28 September 2014

Sukan Asia: Malaysia tambah satu emas


28 September 2014
Sukan Asia

KONTINJEN negara baru meraih emas ketiga setelah temasya Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan memasuki hari kelapan menerusi acara skuasy berpasukan wanita, semalam.

Namun, masih ada beberapa acara yang belum dipertandingkan termasuk terjun dan karate manakala acara memanah membuka peluang untuk meraih emas  sekiranya pasukan negara menang pusingan akhir recurve berpasukan lelaki hari ini.   

Trio Khairul Anuar Mohamad, Atiq Bazil Bakri dan Haziq Kamaruddin bakal
berdepan pemanah dari China Gu Xuesong, Qi Kaiyao dan Yong Zhiwei pada penentuan pingat emas, juga hari ini.

Skuasy berpasukan wanita menepati ramalan apabila menundukkan India 2-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Yeorumul Squash Courts.

Delia Arnold beraksi cemerlang menundukkan Anaka Alankamony 11-9, 12-10 dan 11-2 sebelum Datuk Nicol David, ratu skuasy negara yang juga pemain nombor  satu dunia melengkapkan kemenangan dengan menewaskan Dipika Rebecca Pallikal 11-7, 11-6 dan 11-3.

Malangnya pasukan skuasy lelaki gagal meraih emas acara berpasukan apabila tewas kepada India 0-2.

Mohd Azlan Iskandar yang kembali beraksi selepas dua tahun bersara bagaimanapun gagal menyekat kehebatan Harinder Pal Singh Sandhu pada perlawanan pembukaan dengan keputusan 8-11, 5-11, 11-8 dan 4-11.

Perseorangan pertama negara Ong Beng Hee yang diheret ke perlawanan lima set bagaimanapun gagal menyamakan kedudukan apabila beliau juga tewas dengan  Saurav Ghosal.

Beng Hee tewas 11-6, 7-1, 6-11, 14-12 dan 9-11. Satu lagi harapan pingat emas negara terletak di bahu pemain badminton nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei.

Chong Wei bakal beraksi dalam perlawanan separuh akhir menentang Lin Dan, hari ini untuk mendapatkan slot ke perlawanan akhir.  

Manakala beregu lelaki Goh V Shem/Tan Wee Keong menambah koleksi gangsa dalam acara beregu selepas kalah kepada pasangan Korea Lee Yongdae/Yoo Yeonseong 6-21 dan 15-21.

Pemanah negara Muhammad Mahazan pula terlepas pingat gangsa apabila tewas kepada Paul Marton Dela Cruz dari Filipina 139-140. Terdahulu, Muhammad Zaki
tewas pada perlawanan separuh akhir kepada pemanah India Abhishek Verma 135-143.

Skuad hoki lelaki negara menepati ramalan apabila layak ke separuh akhir selepas menundukkan Jepun 4-1.

Ini membuka peluang kepada pasukan negara untuk merebut slot ke perlawanan akhir, sekaligus mengintai pingat emas untuk kontinjen negara. – Bernama

Sumber-Sinar Harian online 28.9.14

No comments:

Post a Comment