Ad

Friday, 12 September 2014

Jangan gentar Australia

Jangan gentar Australia

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
SKUAD bawah 16 tahun negara menerima kata-kata semangat daripada Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika bertemu Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia itu baru-baru ini. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ
Advertisement

KUALA LUMPUR - Hanya satu langkah lagi perlu dilalui barisan skuad muda negara bagi merealisasikan impian melihat anak-anak Malaysia beraksi di pentas bola sepak Piala Dunia Bawah 17 tahun 2015 di Chile dengan Australia bakal menjadi penghalang terakhir di suku akhir Kejohanan Bawah 16 AFC di Bangkok, esok.

Biarpun Australia hadir dengan reputasi tinggi selaku juara Kumpulan B selepas menewaskan pasukan pilihan, Jepun melalui 4-2, ia tidak sedikit pun menggugat semangat dan impian skuad kendalian S. Balachandran untuk melakar sejarah baharu bola sepak negara dalam perlawanan yang akan berlangsung pada pukul 3.30 petang di Stadium SCG, Nonthaburi.

Selain itu, kelebihan fizikal yang dimiliki oleh pemain Socceroos tidak membimbangkan Balachandran kerana anak-anak buahnya sudah mempunyai pengalaman menentang lawan yang mempunyai kualiti hampir sama dengan Australia.

"Pemain-pemain ini telah dikumpulkan selama 18 bulan dan saya telah membentuk mereka dengan rapi dalam usaha menjadikan mereka sebagai seorang pemain bola sepak yang baik.

"Mereka tahu bagaimana untuk menghadapi pemain-pemain yang besar dan laju kerana pernah menentang pasukan seperti Korea Selatan, Iran dan Jepun termasuk dari benua Eropah.

"Jadi tidak timbul soal kami gentar dengan kelebihan fizikal yang dimiliki oleh para pemain Australia dan semangat mereka kini begitu tinggi untuk menghadapi sesiapa tanpa mengambil kira reputasi lawan, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Kemenangan di suku akhir pasti membawa skuad Bawah 16 negara menempah tempat di Chile, tahun depan dengan empat slot diberikan kepada pasukan dari benua Asia.

Skuad Bawah 16 tahun negara hanya pernah dua kali sahaja layak ke pusingan akhir iaitu pada 2004 dan 2008.

Namun, mereka tidak pernah melepasi saingan kumpulan dan kejayaan mara sebagai lapan pasukan terbaik dilihat satu pencapaian membanggakan selepas mencatat dua kemenangan ke atas Thailand, 1-0 dan Oman, 2-1.

Jelas Balachandran, semangat para pemain kini berkobar-kobar dan langsung tidak berasa tertekan bagi menghadapi Australia di samping hanya kemenangan sahaja berada dalam minda mereka.

"Semua pemain dah diingatkan yang matlamat kita adalah mahu melayakkan diri ke Piala Dunia dan perlawanan dengan Australia ini adalah aksi yang ditunggu-tunggu oleh semua semenjak dari dahulu.

"Sasaran kami semakin hampir ke Piala Dunia dan hanya kemenangan sahaja dalam fikiran kami bagi menaikkan kembali martabat bola sepak Malaysia, " katanya ketika dihubungi, semalam.
Sumber-



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140913/su_04/Jangan-gentar-Australia#ixzz3DAZIGxE7 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment