Farah puas atasi pencapaian di
Sukan Komanwel
Farah Ann Abdul Hadi melakukan
aksi menarik dalam disiplin palang titian dalam acara gimnastik artistik
all-around individu wanita di Gimnasium Namdong, Incheon semalam. - UTUSAN
Advertisement
INCHEON - Dengan mengambil kira
standard yang tinggi, malah kali pertama menyertai Sukan Asia, Farah Ann Abdul
Hadi berasa puas walaupun sekadar menamatkan saingan di tangga ketujuh dalam
gimnastik artistik all-around individu wanita di Gimnasium Namdong semalam.
Gimnas berusia 20 tahun itu
melengkapkan empat rutin iaitu senaman lantai, palang bertingkat, batang titian
serta lombol dengan mengumpul 51.750 mata.
Catatan tersebut adalah lebih
baik daripada apa yang dilakukan Farah dalam Sukan Komanwel di Glasgow bulan
lalu, di mana dia menutup kempen pada kedudukan ke-11 dengan 51.065 mata.
Malah, kutipan mata Farah juga
jauh mengatasi dua pesaing dari Singapura, Janessa Dai dan Lim Heem Wei, yang
masing-masing mengutip 48.465 mata serta 48.299 mata, sekali gus memberi
isyarat positif menjelang Sukan SEA tahun depan.
Farah yang menjadi wakil
tunggal Malaysia dalam acara gimnastik artistik di Incheon, mempamer
persembahan terbaik dalam rutin lombol di mana dia mengutip 13.650 mata.
Dia turut beraksi baik dalam
senaman lantai dengan meraih 3.050 mata, selain mengutip 12.800 mata dalam
palang bertingkat, diikuti 12.50 dalam acara batang titian.
"Saya gembira dengan
prestasi hari ini, sangat-sangat bagus. Sasaran awal saya cuma cuba menempatkan
diri dalam kelompok 11 terbaik, tetapi saya menutup cabaran di tangga ketujuh.
"Apa yang paling penting,
mata yang saya kutip kali ini lebih baik berbanding Sukan Komanwel bulan lalu
sedangkan persaingan Sukan Asia sangat kompetitif dengan kehadiran gimnas
handalan dunia dari China, Korea Selatan, Jepun dan Uzbekistan.
"Saya tak sangka dapat
memberi persembahan yang baik dan tidak sabar untuk turun ke gelanggang sekali
lagi dalam acara kegemaran saya, senaman lantai Khamis ini (esok). Itu
satu-satunya final yang akan saya sertai selepas ini, harap dapat menamatkan
cabaran sekurang-sekurangnya dalam kedudukan tujuh terbaik," kata Farah.
Melihat kepada prestasi yang
dipamer Farah dalam senaman lantai semalam, dia sebenarnya berada pada
kedudukan baik untuk bersaing dalam perebutan pingat kerana mencatat mata
keempat tertinggi di belakang pemenang emas, Yao Jinnan dari China, Yun Nare
(Korea Selatan) dan Yamamoto Yuriko (Jepun).
Farah berkongsi mata bersama
Shang Chunsong dari China.
Sementara itu, pingat emas
all-around individu wanita menjadi milik Jinnan selepas mengumpul 57.900 mata,
meninggalkan Chunsong dengan perak menerusi 56.950 mata.
Nare pula menghadiahkan gangsa
buat tuan rumah menerusi 55.000 mata. -
Sumber-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140924/su_05/Farah-puas-atasi-pencapaian-di-Sukan-Komanwel#ixzz3EHnDwTyW
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment