Ad

Sunday 28 September 2014

Kurang kuota Exco Pas ada unsur nepotisme?


WARTAWAN SINAR HARIAN
27 September 2014

Senarai baharu Exco Selangor Senarai baharu Exco Selangor
SHAH ALAM – Tindakan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengurangkan bilangan Exco Pas adalah tidak wajar kerana parti itu memenangi lebih banyak kerusi berbanding PKR dalam PRU13 lalu.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata, Azmin sepatutnya mengekalkan empat kuota Exco daripada Pas seperti pentadbiran sebelum ini.

“Berdasarkan jumlah kerusi dimenangi dalam PRU13, Pas sepatutnya dapat lebih kerusi Exco. Lebih-lebih lagi jawatan menteri besar sudah diberikan kepada PKR.

“Namun, apabila jumlah Exco Pas dikurangkan dan diberi kepada PKR, seolah-olah menunjukkan wujud nepotisme dalam PKR. Keadaan ini boleh mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Pas di Selangor,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Komposisi terbaharu Exco Selangor yang diumumkan Mohamed Azmin semalam menyaksikan jumlah kerusi PKR menjadi empat, diikuti DAP tiga dan Pas tiga.

Kuota Pas yang dikurangkan itu menampilkan muka baharu iaitu Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib manakala dua lagi adalah lantikan semula iaitu Iskandar Abdul Samad dan Dr Ahmad Yunus Hairi.

Menurut Ismail, keadaan tersebut juga dijangka akan membuatkan politik di Selangor bertambah panas.

“Keadaan tidak akan begitu tenang kerana Pas tidak akan beri laluan mudah. Jika berterusan, mungkin beberapa bulan lagi akan wujud arena baru dalam politik di Selangor.

“Akan terjadi situasi ungkit-mengungkit dan tuduh menuduh yang seterusnya mewujudkan kerajaan negeri yang tidak stabil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pas juga tidak mendapat sebarang kelebihan walaupun ditawarkan jawatan Timbalan Speaker bagi menggantikan Nik Nazmi Nik Ahmad yang kini tersenarai sebagai Exco.

“Nilai Timbalan Speaker lain sebab tugas mereka lebih kepada pengendalian dewan. Ia hanya menjadi syarat kepada Dun untuk bersidang.

“Berbeza dengan jawatan Exco yang mempunyai peranan lebih besar dalam pentadbiran negeri. Jadi, tiada kelebihan apabila jawatan Exco Pas diganti kepada Timbalan Speaker,” katanya.

Sumber-Sinar Harian Online 27 September 2014

No comments:

Post a Comment