Ad

Saturday 6 September 2014

Pas tidak tunduk kepada PKR, DAP

Oleh radhuan hussain
utusanterengganu@utusan.com.my

ABDUL HADI AWANG
Advertisement
MARANG 5 Sept. - Pas yang mengemukakan tiga nama calon termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu untuk jawatan Menteri Besar Selangor, tidak akan tunduk dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam isu tersebut.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, keputusan Pas menghantar tiga nama itu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam menggambarkan ketegasan pendirian Pas tanpa dipengaruhi kedua-dua parti tersebut.

"Kita tidak mengalah, kita berpegang kepada konvensyen pakatan rakyat yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan Raja Berperlembagaan dalam pakatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kuliah Jumaat di Masjid Rusila dekat sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Pas yang telah menghantar surat ditandatangani beliau sendiri kepada Sultan Selangor semalam dengan mengemukakan tiga nama sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun Abdul Hadi enggan menjelaskan mengenai butiran tiga nama calon tersebut atas alasan tidak mahu mendahului Istana Selangor.

"Saya tidak boleh beritahu, saya tidak boleh dahului istana Selangor," jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Ditanya mengenai tiga nama itu yang terdiri daripada seorang daripada Pas dan dua daripada PKR, beliau berkata: "Itu terserah kepada istana, itu saja".

Abdul Hadi juga ketika ditanya kemungkinan seorang daripada tiga nama tersebut adalah Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, berkata, "Itu saya tidak boleh sebut, setelah saya serah kepada sultan, saya tak boleh sebut apa-apa lagi".

"Saya tidak mahu serkap jarang, saya tidak mahu media serkap jarang. Saya serah kepada istana. Istana berpijak kepada konsep Raja Berperlembagaan," jelas beliau.

Abdul Hadi seterusnya berkata, pendirian Pas menghantar tiga nama berkenaan untuk mendapat perkenan Sultan Sharafuddin sebagai mengikut dasar perjuangan beberapa Presiden Pas terdahulu sejak tahun 1959.

Selain itu kata beliau, keputusan Pas itu juga dibuat atas prinsip dan konsep Raja Berperlembagaan yang dipegang parti berkenaan.

"Saya mengikut budi bicara presiden Pas sejak tahun 1959, saya ikut Presiden Pas dulu yang pernah perintah Terengganu, Kelantan, Kedah dan kita pernah dalam Barisan Nasional (BN) dan juga dalam pakatan rakyat," jelasnya.

Ditanya mengenai penubuhan parti serpihan baharu iaitu Parti Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) yang didakwa bakal menjadi pesaing kepada Pas, Abdul Hadi berkata, beliau tidak tahu mengenainya.

Beliau bagaimanapun menyifatkan itu perkara biasa dan pernah berlaku dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia.

"Negara kita demokrasi dan pernah dulu ada parti Islah, parti Imam, parti Suara Islam. Ia pernah ditubuhkan dulu, itu biasalah dalam negara demokrasi," katanya.

Pasma difahamkan ditubuh selepas pertemuan lebih 100 ahli Pas di Kota Bharu, Kelantan Ahad lalu dan penubuhannya dikatakan mempunyai matlamat bagi menghalang Pas meninggalkan pakatan pembangkang untuk bekerjasama dengan UMNO.
Sumber-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140906/po_01/Pas-tidak-tunduk-kepada-PKR-DAP#ixzz3CYalI2X5 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment