Ad

Saturday, 27 September 2014

Vivian, Khe Wei pahat sejarah


 
Woon Khee Wei (kiri) dan Vivian Khoo melompat untuk membalas pukulan beregu Macau dalam perlawanan suku akhir di Gimnasium Gyeyang, Incheon semalam. - UTUSAN

INCHEON - "Apa... sudah 44 tahun Malaysia tidak pernah menang pingat beregu wanita? Wow... sangat lama, saya tidak tahu hendak kata apa."

Itu reaksi spontan Vivian Hoo-Woon Khe Wei sejurus diberitahu mereka melakar sejarah muncul pasangan badminton wanita pertama Malaysia meraih pingat pada Sukan Asia selepas 44 tahun dengan melangkah ke separuh akhir semalam.

Kejayaan menempatkan diri di peringkat empat terbaik mengesahkan sekurang-kurangnya gangsa dalam genggaman, namun juara Sukan Komanwel Glasgow itu mampu menghadiahkan pingat lebih baik sekiranya berjaya memenangi saingan separuh akhir hari ini.

Semalam, Vivian-Khe Wei beraksi dalam keadaan cukup tegang sebelum menumpaskan pasangan Macau, Wang Rong-Zhang Zhibo 21-15, 19-21, 21-19 dalam pertarungan suku akhir yang berlangsung selama 55 minit di Gimnasium Gyeyang.

Kemenangan tersebut membolehkan juara Sukan SEA 2013 itu menjadi penyumbang pingat pertama negara dalam beregu wanita sejak kali terakhir Rosalind Ang-Teoh Siew Yong melakukannya di Bangkok pada 1970 apabila meraih gangsa.

"Saya tidak tahu bahawa kita sudah terlalu lama tidak memenangi pingat dalam acara beregu wanita pada Sukan Asia, malah tidak memikirkan tentangnya ketika datang ke sini.

"Saya sangat gembira berjaya mencipta satu lagi sejarah buat Malaysia, namun cabaran kami belum berakhir kerana masih ada perlawanan yang perlu diharungi esok," kata Khe Wei pula.

Vivian, 24, mengakui, selepas mengejutkan pasangan handalan China, Yu Yang-Wang Xiaoli 17-21, 21-11, 22-20 kelmarin, mereka memberi tekanan berlebihan kepada diri sendiri apabila berdepan beregu Macau kerana terlalu ingin mencari tiket ke separuh akhir.

Kata Vivian, biarpun keyakinannya dan Khe Wei semakin meningkat selepas mengalahkan bekas juara dunia, Yu Yang-Xiaoli di pusingan kedua, namun pertemuan dengan pilihan utama dari Jepun, Ayaka Takahashi-Misaki Matsumoto hari ini adalah situasi yang sama sekali berbeza.Sementara itu, cabaran Malaysia dalam perseorangan wanita berakhir selepas pemain remaja berusia 19 tahun, Yang Li Lian tewas 16-21, 13-21 kepada pemain tuan rumah, Sung Ji-Hyun.

Dua beregu campuran negara, Chang Peng Soon-Ng Hui Lin dan Lim Khim Wah-Lim Yin Loo juga tersingkir awal.

Peng Soon-Hui Lin tumpas 15-21, 21-6, 15-21 kepada beregu Singapura, Danny Bawa Chrisnata-Vanessa Neo, manakala Khim Wah-Yin Loo ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan Taiwan, Chen Hung Ling-Cheng Wen Hsing setelah tumpas 19-21, 19-21. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140926/su_01/Vivian-Khe-Wei-pahat-sejarah#ixzz3ENzFSkPl

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment