Ad

Saturday, 20 September 2014

Harimau belum cukup garang

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
SHAH ALAM - Menang namun persembahan Harimau Malaya masih belum berada di tahap menyakinkan selepas menewaskan pasukan di ranking 199 dunia Kemboja 4-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam malam tadi.

Masih banyak yang perlu diperbaiki oleh Dollah, yang mengecapi kemenangan sulung selaku pengendali Harimau Malaya, terutama di bahagian pertahanan yang kerap kali bocor diasak Kemboja.

Perkara itu jelas perlu dibimbangi oleh Dollah sebelum pasukannya berdepan Jordan yang lebih berkualiti pada 11 Oktober di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Joseph Kalang Tie paling mencuri tumpuan dalam perlawanan itu apabila menjaringkan dua gol. Dua lagi gol skuad negara diperoleh menerusi jaringan sendiri Moul Daravron dan Baddrol Bakhtiar.

"Nasib baik kita lawan Kemboja, kalau hari ini lawan Thailand atau Indonesia...masak kita dibuatnya dengan aksi yang ditunjukkan oleh bahagian pertahanan.

"Saya belum puas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pasukan saya tetapi sekurang-kurangnya kemenangan ini menyuntik semangat kami.

"Namun, kehadiran Joseph Kalang memberikan sedikit kelainan semasa kami melakukan serangan dan dia memberikan banyak impak dalam pasukan," Dollah dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Dollah menurunkan kesebelasan utama yang berbeza berbanding berdepan Indonesia pada 14 September lalu dengan Abdul Manaf Mamat diberi kepercayaan mengetuai jentera serangan.

Harimau Malaya tidak menunggu terlalu lama untuk merobek gawang Kemboja dengan Joseph Kalang menghukum kecuaian pertahanan Kemboja apabila dia melepasi perangkap ofsaid pada minit kelapan dan melakukan rembatan menarik bagi menghasilkan gol pertama negara.

Anak-anak buah Dollah semakin garang dengan jaringan kedua pada minit ke-15 selepas Davavron tersepak bola ke dalam gawang sendiri apabila cuba menampan bola percubaan Abdul Manaf.

Bobby Gonzales yang dimasukkan selaku pemain gantian menjadi perancang kepada gol ketiga apabila sentuhan pertamanya kepada Joseph Kalang disudahkan melalui sepakan lambung menarik pada minit ke-64.

Namun, gawang pasukan negara akhirnya bolos jua pada minit ke-79 menerusi Sok Chanrasmey hasil kesilapan di bahagian pertahanan yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Baddrol bagaimanapun memastikan kelebihan tiga jaringan milik Harimau Malaya dengan melakukan rembatan dari luar kotak penalti dua minit kemudian.
Sumber-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140921/su_07/Harimau-belum-cukup-garang#ixzz3DtvLRIN1 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment