Ad

Saturday 20 September 2014

Tak cantik tak apa asalkan menang

Tak cantik tak apa asalkan menang
INCHEON - Jurulatih skuad bawah 23 tahun, Datuk Ong Kim Swee secara jujur memberitahu tidak kisah andai rentak permainan pasukannya membosankan jika itu dapat memberikan kemenangan dalam pertemuan dengan Arab Saudi hari ini.

Kata Kim Swee, pasukannya sedar perlawanan terakhir dalam peringkat Kumpulan A itu akan menentukan hidup mati mereka dalam Sukan Asia.

Tambah jurulatih tersebut paling mustahak kini pasukan perlu meraih kemenangan dan tidak boleh tertumpu kepada sesuatu corak permainan sahaja.

"Jika pilihan yang ada ialah bermain dengan corak membosankan tetapi menang, atau beraksi dengan rentak permainan menarik tetapi kalah saya akan pilih bermain untuk menang.

"Kita juga perlu sedar bahawa Arab Saudi bukanlah pasukan lemah seperti Laos, mereka mempunyai kekuatan cukup hebat," katanya sewaktu sesi latihan di padang Institut Teknologi Pembinaan Korea semalam.

Kedua-dua pasukan kini mengumpul tiga mata selepas dua perlawanan selepas masing-masing menundukkan Laos dan kalah kepada Korea Selatan yang telah layak ke pusingan kedua.

Bagaimanapun, skuad negara perlu menang hari ini kerana Arab Saudi memiliki kelebihan dari segi jaringan selepas hanya kalah 1-0 kepada pasukan tuan rumah manakala anak-anak buah Kim Swee tewas 3-0.

Sementara itu, Kim Swee menganggap Arab Saudi mempunyai pasukan yang cukup seimbang malah semua pemain mereka amat pantas.

"Mereka ada ketua pasukan yang bagus kerana dapat mengawal rentak permainan dengan baik.

"Malah saya menjangkakan untuk menembusi pertahanan mereka juga pasti sukar dan dalam masa sama perlu berhati-hati dengan jentera serangan mereka," kata Kim Swee. - MINGGUAN
Sumber-



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140921/su_02/Tak-cantik-tak-apa-asalkan-menang#ixzz3DtzOHVGE © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment