MENTERI Belia dan Sukan, Khairy
Jamaluddin sempat bergambar selfie dengan Nicol David, Wee Wern dan dua
pemenang gangsa selepas majlis penyampaian pingat di Pusat Skuasy Yeorumul,
Incheon semalam. - UTUSAN
INCHEON - Datuk Nicol David
memecah satu lagi rekod dalam kariernya yang gemilang apabila muncul atlet
Malaysia paling cemerlang dalam sejarah Sukan Asia apabila merangkul pingat
emas kelimanya di Incheon semalam.
Jaguh skuasy itu, yang sudahpun
memegang pelbagai rekod termasuk muncul juara dunia paling banyak dengan tujuh
kejuaraan, mempertahankan gelaran perseorangan wanita selepas mengecewakan
rakan senegara Low Wee Wern 9-11, 11-6, 11-5, 12-10 di Pusat Skuasy Yeorumul.
Ini adalah kali pertama dua
pemain Malaysia bertemu sesama sendiri di pentas akhir perseorangan wanita
Sukan Asia, malah kemenangan ini juga amat bermakna buat Nicol kerana ia adalah
kejuaraan perseorangan keempat buatnya sejak kali pertama muncul juara di
Bangkok pada 1998.
Selepas sekadar pulang bersama
perak di Busan 2002, Nicol merampas kembali gelaran di Doha 2006, sebelum
menghadiahkan dua emas buat Malaysia pada temasya Guangzhou 2010 dalam acara
perseorangan dan berpasukan.
"Saya tidak pernah
terfikir tentang rekod (muncul atlet Malaysia paling berjaya dalam Sukan Asia),
tetapi sudah tentu satu perasaan yang hebat apabila dapat merangkul emas kelima
di Sukan Asia.
"Bagaimanapun cabaran kita
belum berakhir kerana masih ada acara berpasukan untuk diharungi. Saya perlu
mempersiapkan diri untuk memastikan kami dapat pulang bersama satu lagi pingat
emas," kata pemain No. 1 dunia itu.
Nicol, 31, yang diberi
penghormatan membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan memecah rekod
legenda olahraga Tan Sri Dr. M. Jegathesan, legenda badminton Ng Boon Bee dan
ratu boling negara, Shalin Zulkifli yang sebelum ini menjadi pemenang pingat
terbanyak Malaysia di Sukan Asia.
Jegathesan mengetuai pungutan
pingat individu dengan empat emas, dua perak dan satu gangsa, manakala pakar
beregu, Boon Bee dan Shalin berkongsi empat emas, satu perak serta dua gangsa.
Kemenangan semalam membolehkan
Nicol menambah koleksi pingat Sukan Asia kepada lima emas dan satu perak. Dia
juga berpotensi meraih emas keenam apabila Malaysia bersaing dalam acara
berpasukan wanita bermula hari ini.
Nicol dan Wee Wern akan kembali
ke gelanggang untuk meneruskan cabaran Malaysia dalam berpasukan wanita bersama
Delia Arnold dan Vanessa Raj. Skuad negara akan memulakan kempen dengan
berdepan Jepun.
Pemain kelahiran Pulau Pinang
itu, yang melaungkan keyakinan untuk kembali ke Sukan Asia di Jakarta 2018
turut memegang rekod juara Asia paling banyak dengan lapan gelaran, selain
mencipta rekod tidak kalah dalam 51 perlawanan berturut-turut (13 bulan) dari
Mac 2006 hingga April 2007.
Sementara itu Wee Wern
mengakui, Nicol terlalu hebat buatnya walaupun dia cuba memberi tentangan
sengit termasuk menang di set pertama.
"Dia adalah juara dunia
tujuh kali, permainannya jauh lebih baik daripada saya dari segenap segi
walaupun saya cuba memberikan yang terbaik hari ini.
"Saya percaya, dia masih
boleh merangkul kejuaraan kalau dia mahu beraksi dalam Sukan Asia empat tahun
akan datang," katanya. - UTUSAN
SUMBER-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140924/su_01/Nicol-pecah-rekod-sendiri#ixzz3EArpzd8M
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment