WARTAWAN SINAR HARIAN
23 September 2014
Bendera parti yang bertanding
menghiasi laluan ke Kampung Bunohan. Bendera parti yang bertanding menghiasi
laluan ke Kampung Bunohan.
BUNOHAN - Bunohan, sebuah
kampung yang agak terpencil di daerah Tumpat berhampiran dengan sempadan
Thailand kembali menjadi sebutan sempena PRK Dun Pengkalan Kubor ini.
Sebelum ini, nama tersebut
menjadi terkenal kerana ia dijadikan tajuk sebuah filem tempatan.Daripada
sebuah kampung yang sunyi, Bunohan kini meriah dengan kehadiran petugas parti
politik yang melintasi kampung ini dari Kota Bharu ke pekan Pengkalan Kubor.
Jalannya mula sesak dengan
kenderaan keluar masuk, poster dan kain rentang digantung di sepanjang jalan
serta bendera Pas dan BN berkibaran di sana sini.
Melihat sahaja papan tanda yang
tertera perkataan Bunohan, ada yang meremang bulu roma kerana menyangka mereka
perlu bertugas di perkampungan di mana ramai manusia dibunuh.
Tanggapan itu dikukuhkan lagi
jika ada yang pernah menyaksikan filem Bunohan arahan Dain Iskandar Said, tiga
tahun lalu.
Filem Bunohan yang memenangi
anugerah filem terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-25 dan dilakonkan oleh
Faizal Hussein, Zaharil Adzim, Pekin Ibrahim dan Bront Palarae itu mengisahkan
konflik hubungan tiga beradik di Kampung Bunohan yang berakhir dengan
pertelingkahan dan pembunuhan.
Namun, Penghulu Mukim Bunohan,
Mohammad Yaakob berkata, kisah dalam filem itu tiada kaitan langsung dengan
asal usul Kampung Bunohan.
Menurutnya, beliau sedar nama
unik Kampung Bunohan menjadi sebutan orang ramai sejak kampung itu dibuka dan
apabila ada orang luar berpindah dan menetap di situ.
“Berapa orang kena bunuh di
kampung ini? Itu soalan pelik yang sudah lali saya dengar.
“Kadang kala saya usik juga
perantau ini, mereka percaya terus apa yang saya cakap,” katanya.
Mohammad berkata, sebenarnya
bunohan adalah sejenis alat menangkap ikan yang digunakan penduduk di kawasan
berkenaan untuk menangkap ikan darat seperti ikan puyu, sepat, ikan keli dan
haruan di satu lubuk ikan.
“Lubuk ikan itu masih ada
sehingga sekarang, namun ikannya sudah pupus serta airnya semakin cetek,”
katanya.
Menurutnya, lubuk ikan itu
menjadi lubuk rezeki buat mereka.
“Dahulu, airnya sangat dalam
dan di dalamnya hidup pelbagai spesies ikan darat. Bunohan dipasang di muka air
oleh penduduk kampung untuk menangkap berbagai jenis ikan,” ceritanya.
Katanya, alat itu disebut
bunohan kerana ia akan membunuh ikan yang masuk ke dalam alat itu, dan langsung
tiada kaitan dengan pembunuhan orang.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE
23.9.2014
No comments:
Post a Comment