Ad

Thursday 18 September 2014

Konsep dan Susun Lapis Masyarakat Vietnam

1.2 Sistem sosial 
Susun lapis masyarakat di negara Vietnam dan Indonesia berbentuk piramid.Raja menduduki lapisan teratas dalam susun lapis tersebut, diikuti golongan kerabat diraja, dan golongan bangsawan. Kedudukan paling bawah ialah golongan rakyat, iaitu petani, artisan, diikuti golongan hamba. Susun lapis masyarakat dibahagikan kepada golongan pemerintah dan
golongan diperintah.

1.2.1 Konsep dan Susun Lapis Masyarakat Vietnam
Dalam susun lapis masyarakat vietnam, golongan cendekiawan-pentadbir (Quan atauMandarin) berada di kedudukan paling tinggi selepas Maharaja.Ini diikuti dengan kelas petani, petukang, dan saudagar pada lapisan berikutnya.
       Secara keseluruhannya, terdapat dua kumpulan besar dalam masyarakat Vietnam, iaitu golongan cendekiawan-pentadbir dan petani-pengeluar. Terdapat dua kumpulan penting dalam masyarakat vietnam, iaitu kumpulan sami Buddha dan sekumpulan kecil peniaga Cina yang berpengaruh. Dalam masyarakat Vietnam, taraf pendidikan, ijazah, dan jawatan dalam pentadbiran awam serta kuasa merupakan pertimbangan penting dalam membezakan status antara seseorang individu dengan individu yang lain.

       Pendidikan berasaskan ajaran Confucius menjadi kayu ukur yang mengasingkan golongan petani dengan golongan Quan (Matdarin). Mereka mempunyai kedudukan dan kuasa yang tinggi kerana berpendidikan Confucius.
      Dalam masyarakat Vietnam, hanya kumpulan cendekiawan sahaja yang mendapatpendidikan ke peringkat yang lebih tinggi. Bagi rakyat biasa, mereka hanya diberikan latihan sivik atau pendidikan minimum agar mereka memahami undang-undang dan peraturan sosial seperti cara menghormati golongan yang lebih tua, menghormati adat istiadat, upacara kampung, dan keluarga.
       Keanggotaan dalam pentadbiran negara bersifat eksklusif kerana pencapaian akademik dalam klasik Confucius dan bahasa Cina sama ada di peringkat daerah atau di pusat hanya terhad kepada individu yang mempunyai harta dan waktu untuk belajar sahaja. Seorang anak kampung yang miskin boleh maju tetapi sokongan daripada seorang Mandarin amat perlu untuk memastikan kejayaannya. Ini menunjukkan betapa kuat pengaruh golongan Mandarin dalam sistem pentadbiran Vietnam.

       Sebagai satu kumpulan, Quan mempunyai bidang kuasa yang besar dan berpengaruh dalam masyarakat.. Mereka bertanggungjawab menentukan beberapa aspek kehidupan masyarakat seperti keluasan rumah, bentuk, dan warna pakaian yang mesti dipakai, serta upacara keagamaan yang berkaitan dengan pengebumian.

       Secara berkumpulan, Quan tidak ada persaingan kerana mereka mengendalikan semua fungsi penting negara seperti peperangan, kebajikan, pentadbiran, dan adat istiadat. Mereka juga menguasai pentadbiran agama melalui sistem patron-klien.Namun, susun lapis masyarakat Vietnam pada abad ke-19 tidak lagi terdiri daripada golongan bangsawan kerana pembaharuan yang dilaksanakan oleh Maharaja Gia Long ke arah pembentukan sistem pemusatan kuasa melalui birokrasi pusat.


       Maharaja Gia Long telah menghapuskan keistimewaan yang dimiliki oleh golongan bangsawan dan kerabat diraja seperti pemilikan ladang yang besar dan pemungutan cukai kampung. Golongan bangsawan yang hilang keistimewaan tradisi dibayar gaji dalam bentuk wang dan beras. Mereka juga tertakluk di bawah kuasa Maharaja. Petani menjalankan kegiatan ekonomi sara diri dengan tumpuannya kepada penanaman padi untuk menampung keperluan negara.

No comments:

Post a Comment