DATUK Nicol David meraikan
kejayaan merangkul pingat emas kedua negara di temasya Sukan Asia ke-17,
semalam. - Foto AP
INCHEON: Menteri Belia dan
Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan pihak yang mempertikaikan
kejayaan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David menyumbang pingat emas kedua
negara di temasya Sukan Asia ke-17, semalam sebagai 'bangang dan tidak bertanggungjawab'.
Salah seorang pemegang akaun
laman sosial Facebook semalam meletakkan komen negatif di status akaun Facebook
Khairy dengan memperlekehkan kejayaan Nicol atas alasan acara berkenaan tidak
dipertandingkan pada peringkat Sukan Olimpik.
"Bangang," kata
beliau ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut.
Khairy berkata beliau tidak
kisah jika individu terbabit memperlekehkannya sebagai Menteri Belia dan Sukan
namun bukan kepada atlet negara yang bertungkus lumus mengharumkan nama negara
di pentas sukan dunia.
"Atlet kita sanggup
ketepikan hal-hal peribadi mereka semata-mata untuk mengalas cabaran negara di
Incheon dan tidak ramai yang sanggup berbuat demikian demi kepentingan
negara," katanya.
"Saya ingin tahu sama ada
individu yang mengkritik kejayaan Nicol tahu bermain skuasy atau tidak, sebelum
mereka layak untuk melemparkan kritikan," katanya kepada pemberita di
sini, hari ini.
Nicol berjaya mempertahankan
pingat emas selepas mengalahkan rakan senegara, Low Wee Wern 9-11, 11-6, 11-5
dan 12-10 dalam final perseorangan wanita, semalam.
Pingat emas pertama negara
disumbangkan oleh atlet wushu wanita, Tai Cheau Xuen menerusi acara gabungan
Nanquan-Nandao pada hari pertama kejohanan.
Dalam perkembangan lain, Khairy
berkata kejayaan kontinjen negara mengumpul dua emas, tiga perak dan tiga
gangsa, sehingga hari kelima kejohanan membuktikan sasaran lapan pingat adalah
satu sasaran yang realistik dan tidak mustahil dicapai oleh negara.
Beliau berkata ada atlet yang
gagal meraih pingat dan ia bukan bermakna bahawa mereka gagal dalam misi ke
Incheon kerana apa yang lebih penting adalah pencapaian mereka untuk mengatasi
catatan terbaik dan bukan pingat dimenangi.
"Sehingga hari ini
kontinjen negara masih berada di landasan yang betul apabila meraih dua emas
dan diharap kita mampu mengutip lebih banyak pingat lagi," katanya. –
BERNAMA
SUMBER BERITA HARIAN ONLINE
25.9.14
No comments:
Post a Comment