Ad

Saturday 13 September 2014

Semarak semangat 1Malaysia


Oleh NOR SHAFAWATI YUP dan LILY YEAN
 
SEMANGAT cintakan negara jelas terpancar pada setiap wajah generasi muda Malaysia.

PENGISYTIHARAN Hari Malaysia sebagai cuti umum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober 2009 disambut baik oleh seluruh rakyat di negara ini.

Ia dilihat sebagai langkah terbaik bagi membolehkan seluruh rakyat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian kaum, bangsa dan agama mengecapi nikmat keharmonian sejati yang bertepatan dengan konsep 1Malaysia.

Menurut Pensyarah Kanan, Program Hubungan Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah, Dr. Zaini Othman, Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun merupakan milik setiap rakyat negara ini.

“Tidak seorang pun antara kita, perlu berasa diketepikan, sangsi atau terpinggir dalam menyambut hari yang amat bermakna dan bersejarah kepada negara ini.

“Hari bersejarah itu bukan hanya untuk dikenang dan diraikan oleh generasi terdahulu, sebaliknya generasi muda, tidak kira apa jua kecenderungan serta minatnya, mereka perlu sama-sama menghayati erti Hari Malaysia,” katanya baru-baru ini.

Zaini berkata, kesedaran memahami sejarah negara dan pembentukan Persekutuan Malaysia dalam kalangan generasi muda perlu disemai dari awal kerana ia merupakan salah satu daripada kelangsungan pembangunan negara dan entiti Malaysia.

Jelas Zaini, kepentingan memahami konsep sejarah di sebalik Hari Malaysia itu sendiri ialah kata kunci untuk meningkatkan semangat patriotisme selain meraikan sambutan yang diadakan secara besar-besaran saban tahun.

“Sehubungan itu, amat penting bagi generasi muda mempunyai pengetahuan dan pemahaman dalam sejarah negara dengan membuat rujukan bagi memastikan fakta sebenar mengenai sejarah tidak dimanipulasi atau disalah tafsir.

“Kenikmatan hidup sebagai rakyat pelbagai kaum di Malaysia harus dihargai kerana inilah keunikan negara yang menjadi kebanggaan sejak sekian lama dan harus dikekalkan bagi menjamin masa depan Malaysia agar terus aman sejahtera,” ujarnya.

Dalam pada itu, langkah kerajaan meraikan Hari Malaysia pada setiap 16 September disambut baik oleh juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Starcie Angie Anam atau lebih dikenali sebagai Stacy.

Menurut Stacy, 24, Hari Malaysia amat bermakna bagi dirinya kerana ia merupakan simbolik penubuhan sebuah negara yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Hari Malaysia merupakan hari bersejarah yang mempunyai makna yang sangat mendalam kepada setiap warga tempatan terutama orang Borneo seperti saya yang berasal dari Sabah.


MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kiri) bersama kanak-kanak yang memakai pakaian bercorak Jalur Gemilang.

“Walaupun sambutan Hari Malaysia di negeri tanah kelahiran saya tidak banyak berbeza dengan Semenanjung Malaysia, namun penduduk Borneo mempunyai perasaan yang sangat mendalam terhadap detik bersejarah 16 September 1963 itu,” katanya yang berketurunan Kadazan.

Seorang peniaga, Ahmad Elifirdaus Ahmed Saifuddin, 25, memberitahu, dengan meraikan Hari Malaysia, penduduk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bukan sahaja dapat memperingati tarikh kelahiran Malaysia, malah menghargai konsep Malaysia itu sendiri.

“Langkah itu mengingatkan rakyat bahawa Sabah dan Sarawak juga adalah sebahagian daripada Malaysia.

“Jika Sabah dan Sarawak sahaja yang bercuti pada 16 September, seolah-olah kedua-dua negeri itu bukan sebahagian daripada Malaysia,” katanya.

Jelas Ahmad Elifirdaus, sejak mencapai kemerdekaan menerusi Malaysia, negara telah berkembang dalam semua aspek termasuk pembangunan prasarana, pendidikan, sosial dan ekonomi.

“Saya harap tiada lagi jurang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, malah pembentukan secara langsung dapat membentuk persefahaman antara rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini,” katanya yang mengusahakan sebuah restoran di Kuching, Sarawak.

Seorang kakitangan syarikat swasta, Susana Yap, 28, memberitahu, Hari Malaysia melambangkan perpaduan dan penyatuan setiap suku kaum di Malaysia tanpa mengira perbezaan latar belakang, budaya dan agama.

“Walaupun masing-masing mempunyai amalan hidup dan kepercayaan yang berbeza, namun tidak menjadi masalah bagi rakyat Malaysia untuk belajar mahupun bekerja di bawah satu bumbung.

“Kita bergaul dengan rakan-rakan yang terdiri daripada kaum berbeza dan ini membolehkan kita menguasai pelbagai bahasa yang menjadikan rakyat Malaysia istimewa di mata dunia,” ujarnya yang berasal dari Keningau, Sabah.

Bagi Deejay iM4U FM, Thevanesh Rao, sesetengah rakyat di negara ini kurang prihatin terhadap sejarah dan kepentingan Hari Malaysia.

“Sebelum perdana menteri mengisytiharkan Hari Malaysia sebagai cuti umum mulai tahun 2010, rakyat tidak peka dan kurang ambil berat tentang kepentingan hari yang bermakna ini.

“Dengan menjadikannya sebagai cuti umum, ia akan mengingatkan rakyat tentang usaha dan perjuangan penubuhan Malaysia,” jelasnya yang berasal dari Subang Jaya, Selangor.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/14.9.14

No comments:

Post a Comment