Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusan.com.my
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Advertisement
SHAH ALAM 8 Sept. - Sultan
Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan
tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang ingkar dengan titah baginda
pada 27 Ogos lalu supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon daripada
parti masing-masing untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar yang baharu.
Setiausaha Sulit kepada Sultan
Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, tindakan PKR dan DAP itu
menggambarkan kebiadaban kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan
derhaka kepada titah baginda.
Menurutnya, Sultan Sharafuddin
telah menerima senarai calon Menteri Besar daripada ketiga-tiga parti dalam
pakatan pembangkang namun hanya Pas yang akur titah baginda dengan
menyenaraikan tiga nama.
"PKR dan DAP pula masing-masing
mengemukakan hanya satu nama yang sama iaitu Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail
sebagai calon Menteri Besar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, titah baginda
supaya mengemukakan senarai lebih daripada dua calon Menteri Besar adalah satu
amalan yang dilaksanakan oleh Sultan Selangor.
"Ini adalah bagi
membolehkan baginda membuat pilihan terhadap bakal Menteri Besar dengan melihat
bukan sahaja sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) malah dari
segi kemahiran, pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang ADUN tersebut.
"Ciri-ciri ini amat
penting bagi menjamin perjalanan pentadbiran negeri berjalan dengan baik dan
lancar demi keharmonian rakyat Selangor," katanya.
Beliau berkata, Sultan Selangor
berkeyakinan terdapat ramai calon dalam pakatan pembangkang yang mempunyai
ciri-ciri sedemikian bagi menerajui kerajaan negeri.
Dengan penerimaan senarai
berkenaan, kata Mohamad Munir, baginda akan meneliti calon-calon terbabit dan
mengambil kira segala aspek dalam menilai setiap individu sebelum sebarang
keputusan dibuat.
"Pada masa yang sama
memandangkan kuasa melantik Menteri Besar terletak pada budi bicara Sultan
Selangor, maka baginda juga akan meneliti nama-nama ADUN yang lain daripada
pakatan pembangkang yang berkelayakan dan pada fikiran baginda mendapat kepercayaan
majoriti ADUN," katanya.
SUMBER-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140909/po_01/Sultan-amat-dukacita#ixzz3ClPFD4Te
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment