Ad

Tuesday, 2 September 2014

Tonggak cedera tambah beban Selangor

 Oleh FADHILUL IZMEL ISHAK
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Sudahlah perlu menang ke atas T-Team untuk menjamin tiket ke suku akhir Piala Malaysia, juara 32 kali, Sela­ngor dibebankan pula dengan masalah kecederaan tiga tonggak yang tidak dapat diturunkan dalam perlawanan di Stadium Shah Alam, Rabu ini.

Red Giants, yang mengalami satu lagi keputusan mengecewakan ketika seri 1-1 dengan PDRM kelmarin, masih tidak dapat menurunkan penyerang, Abdul Hadi Yahya yang belum pulih daripada pembedahan lutut, manakala Muhammad Afiq Azmi mengalami kecederaan siku dan Shahrom Abd Kalam cedera di tangan.

Pengendali Selangor, Mehmet Durakovic bagaimanapun sedikit lega apabila ketua pasukan, Mohd. Bunyamin Omar bakal kembali memperkuatkan pasukan selepas menamatkan penggantungan dua perlawanan.

"Memandangkan kami kehila­ngan beberapa pemain saya tidak dapat menentukan formasi yang akan digunakan kerana saya perlu melihat siapa yang saya miliki pada sesi latihan akan datang.

"Bagaimanapun berita baiknya, kami kembali mendapat sentuhan ketua pasukan, Bunyamin yang sebelum ini digantung dua perlawanan," kata Durakovic.

Pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kel­mnarin, kealpaan benteng Selangor membolehkan PDRM menyamakan kedudukan pada penghujung permainan menerusi jaringan Mohd. Alfi Mahmud selepas terdahulu Andik Vermanshah membuka jaringan seawal minit ke-13.

Durakovic berkata, corak permainan yang dipamerkan oleh pemain adalah bagus, namun merekahilang fokus ketika perlawanan tinggal beberapa minit untuk ditamatkan sehingga membuka ruang untuk dihukum lawan.

"Kami banyak mendominasi corak permainan ketika menentang PDRM, malah kami berjaya menyumbat gol pertama perlawanan seawal minit ke-13.

"Bagaimanapun tumpuan pemain terjejas di ujung perlawanan ketika PDRM mengambil sepakan penjuru. Pertahanan lambat mengeluarkan bola daria kotak penalti. Akibatnya gol penyamaan terhasil di lewat permainan.

"Gol itu turut terhasil disebabkan pemain Selangor tidak mengawal lawan dengan kemas kerana mereka kerap membiarkan PDRM memasuki kawasan pertahanan tanpa diawasi," katanya lagi.

Biarpun mengharungi dua perlawanan terakhir yang mengecewakan, termasuk kalah 1-2 kepada Sime Darby, Selangor masih berpeluang melayakkan diri ke suku akhir dengan menghuni tangga kedua Kumpulan D dengan tujuh mana, enam mata di belakang PDRM.

Mereka tidak boleh kalah, Rabu ini kerana mampu dicantas oleh Sime Darby sekiranya pasukan itu menumpaskan PDRM dalam perlawanan terakhir. Sime Darby hanya satu mata dipisahkan di belakang Selangor.
SUMBER


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140901/su_05/Tonggak-cedera-tambah-beban-Selangor#ixzz3C15BbSDR © Utusan Melayu (M) Bhd


No comments:

Post a Comment