Ad

Saturday, 20 September 2014

Sukan Asia: Cheau Xuen sumbang emas pertama negara acara wushu


 
ATLET wushu negara, Tai Cheau Xuen meraih emas di temasya Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan, hari ini. - Foto Rosli Rahmat
INCHEON: Atlet wushu negara, Tai Cheau Xuen melakar kejutan apabila memenangi pingat emas dalam acara gabungan Nanquan dan Nandao wanita di Ganghwa Dolmens Gymnasium, hari ini.

Ia adalah emas pertama kontinjen negara pada hari pertama temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.

Juara dunia acara nanquan di Kuala Lumpur 2013 dan pemenang gangsa di Sukan Asia 2010 di Guangzhou mencipta kejutan apabila memenangi emas dalam acara gabungan nandao dan nanquan dengan mengutip 19.23 mata - 9.61 mata dalam acara nanquan dan 9.62 mata (nandao).Dia berjaya mengalahkan atlet Indonesia, Wasni Juwita Niza yang mengumpul 19.19 mata dan atlet pilihan dari China Wei Hong (19.15).

"Saya terkejut dapat menang emas hari ini," kata gadis bersifat pemalu itu yang kurang fasih berbahasa Melayu dan Inggeris."Saya hadiahkan emas ini untuk seluruh rakyat negara kita dan keluarga. Saya juga mahu ucapkan terima kasih kepada jurulatih, rakan-rakan, Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia."

Seorang lagi wakil negara, Diana Bong gagal memenangi sebarang pingat apabila hanya mampu menghuni tempat ke-12 dengan 18.25 mata.

Ini adalah emas keempat berturut-turut dalam acara wushu Sukan Asia selepas Ho Ro Bin di Busan 2002 dan bekas ratu wushu negara, Chai Fong Yin di Doha 2006 dan Guangzhou 2010.

AKSI Tai Chean Xuen di Gimnasium Ganghwa Dolmens, Incheon, Korea Selatan, hari ini. - Foto Rosli Rahmat

ATLET wushu negara, Tai Cheau Xuen menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara Nanquan dan Nandao pada temasya Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan, hari ini. - Foto Rosli Rahmat

Sumber-BERITA HARIAN ONLINE 20.9.14

No comments:

Post a Comment