Ad

Friday, 12 September 2014

Tok Mat atau Shapian?



Tok Mat atau Shapian?
KUALA LUMPUR - Datuk Ahmad Ismail kian pasti mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada mesyuarat agung pemilihan penggal 2014-17 di Johor Bahru, hari ini di sebalik strateginya yang meletakkan calon simpanan, Akrammuddin Abd. Aziz dan dicabar oleh Mohd. Shapian Ali.

Ahmad, 59, yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) akan menempatkan semula Akramuddin, Presiden Persatuan Sepaktakraw Melaka (Pastam) sebagai calon Timbalan Presiden PSM yang turut ditandingi Datuk Markiman Kobiran.

Justeru tidak akan ada lagi pertandingan yang selain daripada satu lawan satu sekali gus calon simpanan Timbalan Presiden, Abdul Jalil Ariffin bakal menarik diri biarpun Bendahari PSM itu digembar-gemburkan mahu menyertai pertarungan 'Regu Tok Mat' dengan 'Regu Shapian' itu.

Ahmad turut mendapat sokongan tiga calon Naib Presiden PSM, Senator Datuk Khairuddin Abd. Samad; Fudin Chee Kifli dan Datuk Mohd. Yusof Ismail apabila menentang calon proksi Shapian iaitu penyandang jawatan, Datuk Awang Sham Amit dan calon 'atas pagar', Razak Rahman.

"Saya boleh beri jaminan cuma satu lawan satu bagi kedua-dua jawatan Presiden dan Timbalan Presiden," kata Ahmad yang masih menangguhkan jawapan sama ada mahu mempertahankan kerusi panas itu atau tidak sehingga mesyuarat yang dijadualkan bermula 11 pagi ini.

Ahmad yang turut dikenali sebagai Tok Mat telah menerajui PSM sejak 22 Disember 2002 itu menggantikan Datuk Saidin Thamby, dilihat masih diperlukan memandangkan Liga Sepaktakraw Malaysia yang bertaraf semi-pro, bakal dianjurkan PSM dengan kerjasama Asia Sports Ventures di Kuala Terengganu mulai November ini.

Ironinya, negeri kelahiran Terengganu itu dipilih oleh PSM sebagai medan sulung liga tersebut adalah untuk merapatkan semula barisan persatuan yang mungkin mengalami keretakan atau perpecahan gara-gara wujudnya dua regu pada pemilihan sengit itu.

Pucuk pimpinan PSM yang sedia ada juga dianggap lebih 'memikat' Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) dalam meneruskan kerjasama dalam membantu menjayakan Siri Super Istaf musim baharu 2014-15 ekoran pengalaman mengendalikannya dalam tiga musim terdahulu sejak 2011.

Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader baru-baru ini turut mengakui, bahawa sebarang perpecahan dalam PSM selepas pemilihan itu pasti turut menyulitkan atau membawa tempias kepada badan induk dunia itu dalam misi memajukan sepaktakraw sehingga memasuki Sukan Olimpik, satu hari nanti.

Namun kata Shapian, "saya cuma minta perwakilan yang mengundi, nilailah semula prestasi pasukan negara kita sejak 12 tahun lalu di bawah PSM sekarang. Mengapa hendak tunggu tiga atau empat tahun lagi kalau hasil yang sama (kegagalan) yang berulang. Jangan pula menyesal selepas ini."

Sementara itu, risikan Utusan Malaysia mendapati, Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan (Persewip), Dazma Shah Daud disebut-sebut bakal dilantik sebagai Setiausaha Agung baharu PSM sekiranya 'Regu Tok Mat' yang memenangi pemilihan itu.

Ahli Exco Pergerakan Pemuda UMNO yang berusia 37 tahun itu, akan mengambil alih kekosongan yang akan ditinggalkan Datuk Arshad Yahya, 64, yang mahu berundur alasan kesihatan dan masalah peribadi selepas menyandang jawatan yang ibarat 'nadi' PSM itu sejak 2003.

"Saya pun ada calon (Setiausaha Agung) yang terlintas di fikiran jika ditakdirkan menang Presiden PSM. Orangnya juga presiden sebuah ahli gabungan PSM.

"Dia orang yang berkualiti, boleh bekerjasama dengan saya dan berpengalaman luas," kata Shapian pula.

Sekalipun masih berahsia, calon pilihannya berkemungkinan besar Zamry Fareed Moh Norden, Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (Pestans) dan bekas pengurus pasukan negara yang baru-baru ini turut menolak pencalonannya sebagai Naib Presiden.
SUMBER-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140913/su_01/Tok-Mat-atau-Shapian#ixzz3D988ZdXx © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment