Ad

Tuesday 23 September 2014

Malaysia mampu pergi jauh - Khalid

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berpendapat skuad bola sepak muda negara berpeluang untuk melangkah lebih jauh pada masa akan datang, selain menyifatkan kegagalan pasukan bawah 23 tahun melepasi saingan peringkat kumpulan bukan sesuatu yang memalukan.

Katanya, banyak perubahan positif berjaya ditampilkan skuad Datuk Ong Kim Swee dalam saingan Sukan Asia di Incheon, namun mereka memerlukan lebih banyak pendedahan selain porgram latihan baharu yang lebih berkesan bagi memantapkan pasukan itu.

Program latihan juga katanya, perlu diterapkan dalam kalangan para pemain muda termasuk Harimau Muda bawah 16 tahun kerana mereka merupakan generasi pelapis skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

"Saya berbangga dengan persembahan yang ditampilkan semasa pertemuan menentang Laos, banyak perubahan yang ditunjukkan. Mereka bermain dengan pantas selain berjaya melakukan hantaran sempurna dan jarang kehilangan bola seperti sebelum ini.

"Bagi saya silibus baharu perlu diwujudkan bagi jangka panjang dengan memberikan tumpuan kepada corak permainan pantas dan fokus utama perlu diberikan kepada skuad Harimau Muda selain pendedahan yang lebih luas.

"Program yang dirangka perlu betul serta sesuai dan mesti diterapkan kepada skuad muda negara yang lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Skuad kendalian Kim Swee terpaksa pulang lebih awal selepas tewas 0-3 kepada Arab Saudi dalam aksi terakhir peringkat kumpulan sekaligus gagal mencapai sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke pusingan suku akhir.

Skuad bawah 23 tahun negara bagaimanapun, berjaya mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Laos selepas tewas 0-3 kepada tuan rumah serta Arab Saudi, ia memberikan isyarat jelas bahawa Malaysia masih belum mampu bersaing dengan jaguh benua Asia.

Bekas pemain tengah skuad juara Pra-Olimpik 1980 itu menyifatkan kegagalan melepasi saingan kumpulan bukan sesuatu yang memalukan kerana aksi di Korea Selatan itu merupakan medan bagi mereka meraih pengalaman berguna untuk dijadikan panduan.

Katanya, Malaysia perlu bekerja lebih keras selepas ini sekiranya mereka mahu berdiri setanding dengan gergasi bola sepak Asia yang lain.

"Kita semua tahu, Korea Selatan dan Arab Saudi adalah negara yang kuat. Jika dibandingkan, kita terlalu jauh ketinggalan meskipun mereka turunkan barisan pemain bawah 23 tahun," katanya.
SUMBER-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140923/su_06/Malaysia-mampu-pergi-jauh---Khalid#ixzz3EB8YNYtS © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment