Ad

Sunday, 14 September 2014

Muslim kecewa gol sendiri

Surabaya: Jika perlu dinilai pemain paling kecewa ketika skuad Harimau Malaya tewas kepada Indonesia 0-2 malam tadi, sudah pastinya pemain pertahanan Mohd Muslim Ahmad.

Selepas dua tahun menanti untuk berada dalam kesebelasan utama negara, apa yang terjadi di Stadium Gelora Delta Sidoarjo tidak seperti yang diharapkan apabila dia menjaringkan gol sendiri untuk membolehkan pasukan tuan rumah mendahului pada babak pertama.

Muslim, 25, beraksi cemerlang bersama pemain senior Mohd Shukor Adan dan pemain yang membuat penampilan pertama Afif Amiruddin di bahagian pertahanan tengah namun malang menimpanya apabila dia tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola hantaran lintang Rizki Rizaldi Pora pada hujung babak pertama.

“Saya cuba menyepak bola itu keluar tapi kaki saya tak sampai.Saya tak sangka bola perlahan masuk ke gawang.Memang kesilapan saya dan saya perlu belajar lagi.

“Mungkin ini kerana saya sudah dua tahun tidak bermain dengan skuad kebangsaan jadi saya perlu dapatkan semula momentum,” katanya yang menjadi tonggak kejayaan Harimau Malaya menjuarai Piala AFF 2010.

Gol pertama Indonesia itu menjejaskan permainan negara pada separuh masa kedua sehingga skuad kendalian Alfred Riedl itu menyumbat gol kedua menerusi tandukan penyerang Samsul Arif Munif pada minit ke-83.

Bagi Muslim yang beraksi bersama Polis Diraja Malaysia, dia tetap yakin untuk kembali bangkit membantu pasukan negara jika terus diberi peluang oleh pengendali Dollah Salleh bagi persiapan ke Piala AFF November ini.

“Kita sudah melakukan yang terbaik, apa yang perlu kita lakukan adalah fokus untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Sumber-

Artikel ini disiarkan MYMETRO pada : 2014/09/15

No comments:

Post a Comment