Oleh Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
USAHA bersepadu harus
disasarkan ke arah penjanaan modal insan yang punya nilai patriotik dan jiwa
merdeka sejati. - Gambar hiasan
Advertisement
Hari ini kita sama-sama
menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-57. Dalam usia kemerdekaan
yang masih boleh dianggap muda ini, pastilah memerlukan setiap warga untuk
kembali bermuhasabah dan menilai secara objektif akan makna kemerdekaan sebenar.
Yang pasti hari kemerdekaan
yang disambut saban tahun bukan sekadar rutin tahunan tanpa makna dan haluan.
Ia juga bukan setakat upacara riuh-rendah pengibaran Jalur Gemilang tanpa
tujuan. Lebih malang lagi jika hari penuh bersejarah ini hanya dipenuhi dengan
gegak-gempita pesta-pestaan yang tercabut akar budaya dan nilai-nilai
keagamaan.
Persoalannya apakah selepas 57
tahun merdeka, rakyat benar-benar bebas daripada belenggu kongkongan dan
penjajahan? Apakah kemerdekaan yang ditebus daripada penjajah Barat benar-benar
telah membenamkan saki-baki jiwa hamba dalam diri setiap warganegara?
Dari satu sudut, masyarakat
hari ini mungkin telah bebas daripada belenggu penjajahan fizikal, namun jiwa
dan pemikiran kita kadangkala semacam masih lagi terbelenggu dan terjajah.
Penjajahan Barat yang berlangsung lebih 400 tahun rupa-rupanya telah berjaya
menanamkan sejenis jiwa hamba iaitu jiwa anak jajahan dalam kalangan sebahagian
umat kita.
Jiwa hamba yang masih
mencengkam inilah akhirnya memudahkan proses penjajahan budaya hingga
terlahirnya generasi pengagum budaya bekas tuannya. Kecenderungan memartabatkan
budaya asing lantas merubah watak dan cara hidup generasi muda kepada gaya
hidup hedonistik melampau, keseronokan rakus, hiburan melulu hingga mengakar
sikap materialistik dan individualistik dalam diri.
Natijahnya lahirlah manusia
sintetik (tiruan) yang terhakis jati diri dan terputus akar agama dan tradisi.
Pemikiran dan perawakan manusia sintetik ini lebih bercitrakan Barat hingga
membudaya gaya hidup sintetik dalam pelbagai bidang - muzik, filem, fesyen dan
lain-lain. Apa sahaja yang didatangkan dari Barat dianggap memenuhi citra
kemodenan sebaliknya budaya sendiri diremehkan.
Tidak hairanlah jika hari ini
wujud sikap memperlekehkan budaya hatta bahasa sendiri lantaran terlalu taksub
pada pemikiran, gaya hidup dan cita rasa bekas penjajah. Budaya yang tidak lagi
berakar kepada akidah turut membiakkan pelbagai gejala sosial dan keruntuhan
akhlak yang serius dalam kalangan muda-mudi.
Dalam konteks sosioekonomi pula,
masyarakat yang terjajah mindanya seringkali mengalami pelbagai konflik
kejiwaan dan dilema pertentangan nilai yang parah. Gaya hidup materialistik dan
individualistik bermodelkan kapitalis Barat jelas mengakar dalam masyarakat
hingga menatijahkan pelbagai penyakit sosial seperti rasuah, pecah amanah dan
jenayah profesional lain.
Semua ini berlaku lantaran
ingin hidup mewah dan 'glamor' persis watak-watak cereka filem yang ditampilkan
walaupun terpaksa berbelanja di luar kemampuan .
Dunia politik juga tidak
ketinggalan menghadapi pelbagai kegawatan moral yang parah. Kerakusan terhadap
kuasa, ketamakan kepada kekayaan dan kegilaan kepada kemasyhuran menyebabkan
prinsip agama mudah dicabuli, hak-hak orang lain dinodai dan nilai-nilai
perikemanusiaan turut diperkosai sewenang-wenangnya.
Lebih menggerunkan apabila kini
kembali wujud watak-watak 'si kitol' yang sanggup menjadi alat kuasa luar
hingga rela diperkudakan dengan membawa pelbagai fahaman dan ideologi asing
yang hakikatnya lompong nilai dan bertentangan prinsip agama.
Dengan dibiayai dana-dana
lumayan, golongan ini juga cuba merobek asas-asas negara sebagaimana termaktub
dalam Perlembagaan atas nama hak asasi dan kebebasan. Semua ini kerana terlalu
dahagakan kuasa dan tamakkan kedudukan hingga agama dan maruah negara rela
dipertaruhkan.
Menyedari kegawatan inilah maka
usaha mencanai nilai patriotik berjiwa merdeka harus segera disemarakkan dalam
kalangan generasi muda kini. Yang dimaksudkan dengan patriotisme di sini
tentunya berintikan akidah dan suluhan syariat yang benar.
Kecintaan
Hakikat yang perlu difahami,
patriotisme atau kecintaan kepada tanah air adalah satu naluri manusiawi
bersifat fitrah yang diciptakan Allah dalam diri setiap insan. Sehinggakan Nabi
Ibrahim AS sendiri menzahirkan kecintaan baginda pada tanah air seraya berdoa
akan segala kebaikan kepada negara sebagaimana termaktub dalam al-Quran:
"Ya Tuhanku, jadikanlah
negeri ini (Mekah) negeri yang aman. Dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku
daripada menyembah berhala-berhala." (Ibrahim:35)
Malah Nabi Muhammad SAW sendiri
banyak digambarkan dalam hadis betapa nilai cintakan tanah air atau patriotik
cukup menyebati dalam diri baginda. Hinggakan dirakam dalam satu hadis
bagaimana baginda berdialog dengan bumi Mekah tatkala memulakan hijrah ke
Madinah:
"Engkau wahai Mekah
merupakan satu bumi yang baik dan paling aku cintai, sekiranya kaummu
(pendudukmu) tidak mengeluarkan aku daripadamu, nescaya aku tidak akan tetap di
mana-mana tempat selain daripadamu." (Riwayat Tirmizi)
Berasaskan dalil-dalil di
ataslah maka pembentukan nilai patriotik harus dimulai dengan penjanaan
generasi berteraskan doktrin tauhid. Umat Islam yang telah menjalani
indoktrinasi tauhid pasti bebas daripada dibelenggu jiwa hamba. Ini kerana
pengesaan kepada Tuhan bererti secara sedar dia telah menolak pengabdian kepada
sesiapa selain Allah.
Hakikat inilah yang ditegaskan
oleh Saidina Umar al-Khattab dalam mengungkapkan kata-katanya yang penuh
bermakna: "Sesungguhnya kami dahulu ialah sehina-hina manusia, lalu Allah
memuliakan kita dengan Islam, maka andainya kita cuba mencari kemuliaan selain
daripada Islam, nescaya Allah akan menghina kita." (Kitab Al-Mustadrak
'ala al-Sahihain, bab Iman, Juzuk 1, ms. 214)
Doktrin tauhid yang menerasi
Islam ini turut menumbuhkan generasi yang berorientasikan keilmuan yang cukup
dinamik hingga menjadikan mereka bukan sahaja manusia yang mempunyai ketajaman
fikiran malah hati mereka sentiasa terpaut pada ingatan kepada kebesaran Allah
(zikrullah).
Integrasi antara unsur fikir
dan zikir inilah yang merangsang jiwa merdeka dalam diri setiap individu.
Generasi ini diistilahkan al-Quran sebagai generasi Ulul-Albab iaitu generasi
yang terbina diatas asas keimanan kukuh dan keupayaan intelektual yang tinggi
hingga mampu mencetuskan idea-idea baru yang kreatif dan inovatif sekali gus
menterjemahkannya dalam bentuk tindakan yang praktis.
Bangsa yang berjiwa patriotik
dan merdeka ialah bangsa yang sensitif dengan maruah dan martabatnya. Mereka
tahu mahalnya harga maruah dan martabat hingga sanggup mempertahankannya.
Bangsa berjiwa patriotik merdeka juga ialah bangsa yang kaya dengan cita-cita
dan daya usaha. Mereka tahu apa yang harus dikerjakan tanpa dikerah, tanpa
diperintah.
Masih belum terlambat untuk
semangat patriotik yang pernah mencetuskan gelombang besar perjuangan bangsa
satu ketika kembali disemai dan disemarakkan dalam kalangan generasi muda.
Perasaan cinta kepada negara
yang lahir daripada jiwa merdeka berorientasikan agama dan adat tradisi yang
Islamik pasti mampu menggerakkan setiap warga untuk berbakti setulusnya kepada
agama, bangsa dan negara secara ikhlas dan penuh amanah.
Penghayatan kepada semangat
patriotik berteraskan nilai-nilai Islam sejati juga berupaya menjelmakan
natijah positif terhadap apa jua usaha untuk membangunkan negara. Malah
kebimbangan kita semua terhadap kemungkinan berlakunya fenomena ketirisan
mahupun pengkhianatan dalam upaya membangunkan negara juga mampu ditangani
sekiranya setiap warga mempunyai iltizam dan komitmen padu untuk menjayakan
sebarang misi dan visi negara.
Kepakaran dan ketrampilan
sahaja tidak cukup bagi menjamin terciptanya suatu kejayaan. Sebaliknya elemen
kepakaran harus diadun bersamanya nilai patriotik yang Islamik agar natijah
yang lahir bukan sahaja manusia yang mempunyai kemampuan memacu dan menjana
ekonomi negara dengan baik tetapi yang lebih mustahak tidak menjadi barah
memporak-perandakan negara dan membinasakan masyarakat terbanyak.
Justeru, pada saat kita
menyambut kemerdekaan negara yang ke-57 ini, usaha bersepadu harus disasarkan
ke arah penjanaan modal insan yang punya nilai patriotik dan jiwa merdeka yang
sejati.
Tanpa semangat patriotik
berjiwa merdeka, sesuatu bangsa tidak akan mampu mencipta kegemilangan dalam
sejarahnya. Malah impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi dalam
pengertian sebenar pasti tidak akan mampu dijelmakan jika pemikiran dan jiwa
bangsanya masih terjajah.
Akhirnya yang tinggal hanyalah
sebuah bangsa berkualiti buih yang rapuh dan tidak kekal lama sebagaimana
terungkap dalam al-Quran: Adapun buih itu, akan hilang sebagai suatu yang tidak
ada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di
bumi. Maka demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan. (Ar-Ra'd:17)
PENULIS ialah Yang Dipertua
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140831/re_01/Memugar-kembali-nilai-patriotik#ixzz3C3XqNSt4
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment