Ad

Wednesday 17 September 2014

Dollah belum ada bayangan


 
Dollah Salleh
INCHEON - Walaupun skuad bawah 23 tahun negara mempamer kebangkitan hebat dengan membenam Laos 4-0 semalam, namun Dollah Salleh mengakui, belum mempunyai bayangan siapakah anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee yang mahu dibawa bersamanya ke Kejohanan AFF nanti.

Ketua jurulatih skuad senior itu meluangkan masa di Sukan Asia di Incheon bagi menonton pertemuan anak-anak buah Kim Swee dengan Laos dalam usaha mencari calon berpotensi untuk disandarkan tugasan untuk Kejohanan AFF yang akan berlangsung 23 November hingga 20 Disember nanti.

Pengendali Harimau Malaya itu hadir hanya tiga hari selepas pasukannya tumpas 2-0 kepada Indonesia dalam perlawanan persahabatan di Surabaya.

"Saya datang untuk tengok dulu, tiada bayangan lagi mungkin panggil atau tidak.

"Hanya kerana kekalahan kami kepada Indonesia, itu tidak bermakna memberi tekanan kepada saya untuk melakukan perubahan besar dalam pasukan atau membawa masuk ramai pemain baharu. Pada saya perlawanan itu cuma sebahagian daripada proses (pembentukan pasukan).

"Apakah saya akan memanggil pemain daripada skuad Sukan Asia? Saya tidak pasti lagi, mungkin saya boleh tengok kalau ada yang sesuai tetapi dalam tempoh beberapa bulan sebelum Kejohanan AFF, sudah pasti saya akan gunakan untuk mencari barisan terbaik," kata Dollah.

Dollah perlu menyenaraikan 22 pemain bagi menghadapi Kejohanan AFF. Antara pemain skuad Sukan Asia yang kerap menggalas tugas bersama pasukan Harimau Malaya adalah Zubir Azmi, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak, Junior Eldstal dan Nor Farhan Muhammad.

Begitupun pemain muda skuad bawah 23 tahun seperti tonggak pertahanan, Mohamad Amer Saidin, 22, dan penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri, 23, antara pemain yang mungkin perlu diberikan peluang oleh Dollah bagi menguatkan cabaran Harimau Malaya.

Dalam perlawanan semalam, keempat-empat gol Malaysia dijaringkan oleh ketua pasukan, Aidil Zafuan, Nur Farhan, Mohd. Fandi Othman dan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir.

Kemenangan itu menghidupkan semula peluang anak-anak buah Kim Swee untuk melangkah ke pusingan kedua selepas dibenam 3-0 oleh Korea Selatan dalam aksi pembukaan Ahad lalu.
SUMBER-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140918/su_04/Dollah-belum-ada-bayangan#ixzz3DcQP1Kft © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment