Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
Kuala Terengganu: Lazimnya ayam
betina bertelur dan mengeram selama 21 hari sebelum telur menetas, tetapi lain
pula yang berlaku di Kampung Bukit Tumbuh, di sini, apabila seekor ayam jantan
berkelakuan pelik kerana mengeram telur.
Jamsyaril Sawal Aziz, 30,
berkata, ibu bapanya menternak ayam kampung sejak dia masih kecil, tetapi belum
pernah berlaku kejadian pelik seperti itu.
“Macam cerita jenaka dan tidak
masuk akal, tetapi itulah hakikat. Saya sendiri terkejut dan tidak pernah
melihat kejadian seperti ini.
“Ramai rakan dan penternak ayam
tidak percaya dan terkejut apabila datang ke rumah menyaksikan sendiri ayam
jantan itu mengeram,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, usia ayam jantan
dipanggil Jali itu sekitar dua tahun dan dipelihara sejak setahun lalu selepas
dibeli daripada seorang kenalan di Marang.
“Jali bukan saja mengeram,
tetapi turut mengikut keletah ayam betina yang sedang mengeram seperti mematuk
sesiapa saja yang mengganggunya.
JALI mengeram telur di Kampung
Bukit Tumbuh.
“Sudah hampir dua minggu Jali
mengeram. Pada mulanya cuma lima telur, tetapi memandangkan ramai penduduk
datang melihat keletahnya, Jali terganggu menyebabkan empat telur pecah dan
sekarang tinggal hanya satu,” katanya.
Menurutnya, dia menyedari
keletah Jali itu apabila ayam betina yang sepatutnya mengeram di situ tidak
lagi memasuki reban kerana diganggu haiwan itu yang kemaruk untuk mengeram.
“Malah, perbuatan Jali mengeram
sudah heboh diceritakan di laman sosial Facebook dan blog penternakan ayam,”
katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan
Penternak Negeri Terengganu Hamid Salleh berkata, kejadian ayam jantan mengeram
memang jarang berlaku dan jika berlaku, ia mungkin didorong faktor usia ayam
yang terlalu tua serta nyanyuk.
“Walaupun ayam jantan itu
mengeram telur seperti ayam betina namun telur berkenaan tidak akan menetas dan
ia akan rosak begitu saja,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
2014/09/27
No comments:
Post a Comment