Woon Khee Wei (kiri) membalas
pukulan sambil diperhatikan oleh Vivian Khoo ketika menentang pasangan Taiwan
pada sebelah pagi semalam sebelum mengejutkan Yu Yang-Wang Xioli dalam
perlawanan sebelah petang untuk mara ke suku akhir. - AFP
Advertisement
INCHEON - Tidak sampai sebulan
selepas membawa pulang pingat emas dari Sukan Komanwel, Vivian Khoo-Woon Khe
Wei mengintai untuk melakar sejarah muncul beregu wanita pertama negara meraih
pingat Sukan Asia dalam tempoh 44 tahun selepas mengejutkan bekas juara dunia,
Yu Yang-Wang Xiaoli untuk mara ke suku akhir semalam.
Vivian-Khe Wei tidak diberi
harapan ketika turun ke gelanggang di Gimnasium Gyeyang kerana lawan yang
ditentang adalah juara dunia 2013 dan naib juara tahun ini, namun pasangan No.
19 dunia itu mengetepikan rasa gemuruh untuk mencatat kemenangan 17-21, 21-11,
22-20 dalam masa 55 minit.
Juara Sukan SEA 2013 itu
memiliki peluang yang baik untuk mencari tiket ke separuh akhir kerana lawan
yang bakal ditentang hari ini adalah gandingan Macau, Wang Rong-Zhang Zhibo
yang mengejutkan pilihan keempat, Chang Yena-Kim Soyeong dari Korea Selatan
21-17, 21-18.
Jika Vivian-Khe Wei melangkah
ke separuh akhir, bermakna gangsa sudah dalam genggaman dan itu tetap menjadi
satu sejarah buat badminton wanita negara.
Kali terakhir Malaysia meraih
pingat dalam beregu wanita pada Sukan Asia adalah menerusi Rosalind Ang-Teoh
Siew Yong di Bangkok 1970. Gangsa pertama acara berkenaan pula diraih Tan Gaik
Bee-Ng Mei Ling di Jakarta 1962.
"Ini adalah kali pertama
saya menewaskan pasangan utama dunia dalam mana-mana kejohanan. Ini memang
mengujakan tetapi kami tidak mahu terlalu terbawa-bawa kerana persaingan masih
di peringkat awal.
"Hari ini, saya rasa
pasangan China bermain di bawah tekanan dan melakukan banyak kesilapan,
sedangkan kami lebih sabar dan melakukan serangan," kata Vivian, yang
tewas 12-21, 17-21 kepada Yu Yang-Wang Xiaoli pada Terbuka Hong Kong 2012.
Vivian-Khe Wei pernah
mengalahkan beregu No. 97 dunia, Rong-Zhibo 21-17, 21-18 dalam satu-satunya
pertemuan mereka di Terbuka Macau pada 2011.
"Berjumpa pasangan Macau
sudah tentu lebih bagus daripada menentang beregu Korea, tetapi kita tidak
boleh cakap ia adalah perlawanan yang mudah. Mereka telah menewaskan pasangan
Korea, itu bermakna mereka bermain dengan bagus," ujar Vivian lagi.
Satu lagi beregu negara, Amelia
Alicia Anscelly-Soong Fie Cho bagaimanapun gagal meneruskan cabaran selepas
kalah 27-29, 16-21 kepada pasangan Thailand, Sapsiree Taerattanachai-Puttita
Supajirakul.
Cabaran perseorangan wanita, Tee
Jing Yi juga berakhir selepas kalah 14-21, 16-21 kepada Akane Yamaguchi,
manakala Yang Li Lian melangkah ke pusingan kedua selepas Maisa Fathuhulla
Ismail dari Maldives menarik diri. - UTUSAN
sumber
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140925/su_02/Vivian-Khe-Wei-nak-pecah-badi-44-tahun#ixzz3EHeJ5MNm
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment