Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan
NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my
Idris Jusoh menunjukkan plastik
pembalut kertas soalan pada sidang media di Kementerian Pendidikan, Putrajaya,
semalam. Turut bersama beliau Misrah Ibrahim (kiri) dan Dr. Na' imah Ishak. -
UTUSAN/RASHID MAHFOF
Advertisement
PUTRAJAYA 12 Sept. - Empat lokasi
panas termasuk beberapa individu telah dikenal pasti oleh pasukan penyiasat
yang terlibat dengan siasatan isu kebocoran kertas soalan mata pelajaran Sains
dan Bahasa Inggeris bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun ini.
Menteri Pendidikan II, Datuk
Seri Idris Jusoh berkata, maklumat itu diperoleh selepas pasukan penyiasat yang
terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Pendidikan memulakan siasatan
berhubung kes tersebut sejak semalam.
Beliau berkata, siasatan rapi
dan terperinci akan terus dilakukan sehingga pengkhianat-pengkhianat itu
diberkas dan kemudian dibawa ke muka pengadilan ekoran tindakan tidak amanah
mereka yang menyebabkan 473,175 calon UPSR dan hampir sejuta ibu bapa terjejas.
"Kementerian memandang
serius apa yang berlaku ini dan kita akan meneruskan kerjasama dengan pihak
polis dan SKMM untuk menahan pengkhianat-pengkhianat ini bagi tujuan membawa
mereka ke muka pengadilan atas kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
"Sekiranya sabit kesalahan
pengkhianat-pengkhianat yang terbukti membocorkan dua kertas soalan berkenaan
wajar menerima hukuman peringkat paling maksimum," katanya dalam sidang
akhbar di bangunan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.
Sidang akhbar tersebut turut
dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Misrah Ibrahim dan Pengarah
Lembaga Peperiksaan, Dr. Na'imah Ishak.
Selain melibatkan jumlah
pelajar sebanyak 473,175 orang, UPSR tahun ini turut membabitkan 51,438 petugas
8,299 pusat peperiksaan dan 382 bilik kebal.
Dalam perkembangan berkaitan
Idris berkata, pasukan penyiasat akan terus menyenarai pendek mana-mana pihak
yang disyaki terlibat di dalam kes tersebut sepanjang siasatan dijalankan.
Ketika ditanya sama ada 'orang
dalam' terlibat di dalam kes tersebut memandangkan prosedur operasi standard
(SOP) UPSR amat ketat, Idris berkata, perkara itu belum dapat dipastikan apatah
lagi kes itu masih di peringkat siasatan.
"Walau apa pun kita tetap
berdukacita dengan apa yang berlaku. Disebabkan terdapat satu atau dua orang
mereka yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah, kepentingan 473,175
calon-calon UPSR terjejas. Hampir sejuta ibu bapa turut menerima nasib yang
sama.
"Tidak kira siapa yang
melakukan perbuatan ini mereka perlu menerima hukuman yang setimpal,"
katanya.
Dalam pada itu Idris berkata,
pihak kementerian amat bersimpati dengan kesemua calon UPSR kerana terpaksa
mengambil semula kertas Sains dan Bahasa Inggeris pada 30 September ini selepas
kedua-dua kertas soalan asal terpaksa dibatalkan oleh Lembaga Peperiksaan.
"Saya amat berharap
guru-guru kaunseling bersiap sedia sekiranya terdapat pelajar-pelajar kita ini
memerlukan nasihat atau kaunseling daripada mereka.
"Sekali lagi saya bagi
pihak kementerian memohon maaf kepada semua pelajar dan hampir satu juta ibu
bapa ekoran kes ini yang tidak sepatutnya berlaku," katanya
SUMBER-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140913/dn_01/Hukuman-maksimum-wajar#ixzz3D9H0whSo
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment