Oleh FAZRINA AYU RADUIAN
pengarang@utusan.com.my
Azmin Ali melambai tangan ke
arah penyokongnya selepas mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rakyat di
Damansara, Petaling Jaya, malam tadi. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Advertisement
SHAH ALAM 22 Sept. - Teka-teki
siapa Menteri Besar yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
akhirnya terjawab apabila Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin
Ali dilantik untuk menjawat jawatan tersebut berkuat kuasa esok.
Surat pelantikan jawatan itu
yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir
Bani diserahkan kepada Azmin, petang ini.
"Saya sahkan surat itu
dikeluarkan oleh pihak Istana Selangor untuk melantik Azmin sebagai Menteri
Besar yang baharu.
"Surat itu diserahkan
sendiri kepada Azmin petang tadi," kata Mohamad Munir ketika dihubungi
Utusan Malaysia di sini malam ini.
Kandungan surat tersebut
menyatakan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan
melantik Azmin untuk jawatan berkenaan berkuat kuasa esok.
Surat itu turut meminta Azmin
untuk hadir ke Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta
penerimaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor yang akan berlangsung
di Istana Alam Shah, Klang, esok.
Sebelum ini, tiga calon sudah
pun disenarai pendek dan telah menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah iaitu
Azmin; Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Bendahari Pas negeri,
Dr. Ahmad Yunus Hairi.
Sementara itu, Azmin melahirkan
kesyukuran di atas pelantikannya sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu
menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Azmin yang juga Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa berkata, surat perkenan pelantikan
beliau oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah diterimanya
pada pukul 3 petang ini.
Katanya, Sultan Selangor telah
menitahkannya untuk hadir di Istana Alam Shah pada pukul 10.30 pagi esok untuk
mengangkat sumpah bagi jawatan tersebut.
"Saya bersyukur kepada
Allah SWT. Pada sekitar pukul 3 petang ini saya telah menerima surat daripada
Sultan Selangor yang memaklumkan bahawa baginda telah memperkenan pelantikan
saya sebagai Menteri Besar Selangor mulai esok," katanya ketika ditemui
selepas mesyuarat Biro Politik PKR di pejabat PKR pusat di sini hari ini.
Mesyuarat berkenaan yang
bermula pada pukul 5 petang turut dihadiri Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan isteri beliau yang juga Presiden parti, Datin Seri Wan Azizah Wan
Ismail.
Yang turut hadir, ADUN Hulu
Klang daripada Pas, Saari Sungip dan pimpinan tertinggi PKR.
Azmin berkata, keputusan
tersebut diterima sebulat suara oleh barisan kepemimpinan PKR termasuk Wan
Azizah yang sebelum ini merupakan calon tunggal PKR untuk jawatan itu.
Katanya, Anwar dan kesemua ADUN
Selangor daripada PKR juga telah dimaklumkan dan bersetuju dengan keputusan
Sultan Selangor itu.
"Sebaik sahaja saya
menerima surat ini, seperti yang saya janjikan kepada parti, saya telah
memaklumkan terus dalam perjumpaan dengan Ketua Umum tentang perkembangan ini
dan kita telah memutuskan untuk mengadakan mesyuarat Biro Politik tergempar pada
pukul 5 petang tadi.
"Dan saya berterima kasih
kepada Presiden parti serta semua rakan kerana telah sebulat suara mencalonkan
saya sebagai Menteri Besar bagi pihak PKR," jelasnya.
Ketika kemelut pengganti Abdul
Khalid memuncak, hanya Pas yang mencalonkan Azmin untuk jawatan Menteri Besar
selepas diminta oleh Sultan Selangor untuk mengemukakan lebih daripada dua nama
bagi jawatan itu manakala DAP dan PKR tetap bertegas mencalonkan Wan Azizah
sahaja.
Sementara itu Anwar ketika
ditemui berkata, tiada sidang akhbar akan dibuat oleh mana-mana pemimpin PKR
berhubung pelantikan tersebut sebaliknya satu kenyataan yang 'sangat positif'
daripada Presiden PKR akan diedarkan kepada media.
Beliau juga enggan memberi
sebarang komen mengenai pemilihan Azmin meskipun diasak dengan pelbagai soalan
daripada petugas media yang berkumpul di pekarangan bangunan pejabat PKR sejak
pukul 2 petang.
Sumber-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140923/dn_03/Azmin-Menteri-Besar-Selangor#ixzz3E5IsOR50
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment