OLEH- AHMAD BIN YAAKOB
1.0
PENGENALAN
Akhbar-akhbar Melayu yang diterbitkan sejak abad ke-19 merupakan
satu sumber sejarah kerana setiap satunya merakam peristiwa sejarah semasa
masing-masing. Menurut Khoo Kay Kim, “Akhbar memang biasa digunakan sebagai
sumber sejarah; tetapi tidak ramai sebenarnya yang banyak bergantung kepada
akhbar Melayu untuk menulis sejarah masyarakat Melayu pada hal bilangan akhbar
Melayu, sepanjang abad ke-20, melebihi bilangan akhbar Inggeris…”.[1]
Bagi Roff pula, “…untuk seorang ahli sejarah akhbar dan majalah yang lama-lama
itu merupakan suatu alat perakaman yang amat mustahak dan berguna. Mustahak,
bukan saja kerana pada halaman-halamannya diriwayatkan peristiwa-peristiwa yang
telah berlaku, tetapi adalah kerana akhbar-akhbar itu menggambarkan dan
menjelaskan fikiran dan perasaan
orang-orang yang hidup ketika itu.”[2] Manakala menurut Ahmat Adam, akhbar amat
penting “…untuk meluahkan rasa prihatin masyarakat terhadap pihak berkuasa atau
pemerintah mengenai sesuatu dasar dan tindakan yang melibatkan kepentingan
umum.[3]
Seterusnya, makalah yang
terkandung di dalam akhbar-akhbar itu ada juga menghuraikan peristiwa-peristiwa
sejarah sebelumnya. Contohnya, akhbar Chahaya Pulau Pinang yang
menyiarkan makalah riwayat hidup Stamford Raffles yang bertajuk “Darihal
Pegawai Yang Mengambil Akan Singapura.” [4]
Pengasuh pula menyiarkan rencana
yang bertajuk, “Tamadun Orang-Orang Arab Pada Masa Jahiliah dan Islam.”[5]
Segala perkara yang terakam dalam akhbar itu dapat menyumbang kepada timbunan
sumber sejarah. Walaupun sebahagian daripada rakaman tersebut asalnya bukanlah
sebenarnya catatan sejarah. Walau bagaimanapun makalah yang terdapat di dalam
akhbar itu perlu dinilai ketepatan fakta sejarah supaya objektif kebenaran
sejarah adalah sah.
Unsur historiografi atau
pensejarahan yang terkandung atau dipaparkan oleh sesebuah akhbar Melayu kuat
dipengaruhi oleh pendirian individu, pengaruh zamannya, dasar kerajaan pada
zaman penjajahan British yang menyekat kebebasan akhbar dan organisasi,[6]
atau pengarang yang membuat penilaian moral dan komen mengikut pendapat dan
pandangan mereka sendiri.
Memandangkan akhbar
merupakan bayangan falsafah hidup masyarakat setempat, maka lahirlah
akhbar-akhbar yang mencerminkan falsafah itu. Misalnya Pengasuh, Neracha dan Saudara mencerminkan
unsur keagamaan. Isi kandungan Neracha dan Saudara, “…cenderung
ke arah perjuangan reformasi Islam,iaitu satu gerakan untuk memurnikan kembali
ajaran Islam dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam dan umatnya.”[7]
Menurut Md. Sidin Ahmad Ishak, “…terdapat editor dan penulis Pengasuh yang
turut memperjuangkan idea Kaum Muda.”[8]
Bagi Khoo Kay kim pula, akhbar-akhbar bercorak keagamaan ini membincangkan
segala masalah orang Melayu “…daripada perspektif agama Islam.”[9]
Dari segi karya pensejarahan pula akhbar-akhbar ini, “…memberi tumpuan
penulisannya adalah kepada pensejarahan Islam.”[10]
Manakala menurut Muhd.
Yusuf Ibrahim, akhbar yang sekular orientasinya seperti Chahaya Pulau
Pinang, Lembaga Melayu,Utusan Melayu, Warta Malaya, Warta Ahad
dan Lembaga Malaya “…penulisan pensejarahan itu tidak tertumpu kepada
pensejarahan Islam, malah kepada peristiwa sejarah seperti sejarah tempatan,
sejarah Eropah, tokoh,peperangan, malah sejarah akhbar/ majalah itu sendiri.”[11]
Roff pula menyatakan, “ terdapat surat-surat khabar mingguan dan harian yang
tiada hubungan dengan agama bernama Utusan Melayu (1907-21) dan
Lembaga Melayu (1914-31). Kedua-dua unsur tersebut adalah bentuk-bentuk
nilai yang menyelubungi masyarakat Melayu ketika akhbar-akhbar itu berperanan.
Selain dari itu
kecenderungan pengisian bahan-bahan penulisan di dalam akhbar-akhbar juga
ditentukan oleh jangka hayat sesebuah akhbar, dasar kerajaan, batasan sumber
kewangan atau pembiayaan dan sambutan pembaca. Contohnya Jawi Peranakkan yang
jangka hayatnya agak panjang iaitu 19 tahun telah menyiarkan berita-berita yang
berlaku “…di negeri-negeri Melayu di Semenanjung dan di daerah -daerah seperti
Lingga, Jawa Barat, Sumatera Utara, Sumatera Barat, Sumatera Timur dan Brunei.
Untuk kaum pedagang Jawi Peranakan menyiarkan harga barang-barang
dagangan seperti timah, gambir,lada hitam, lada putih…”.[12]
Akhbar Peridaran Syamsu Wal-Kamar, Nujumul Fajar dan
Idaran Bintang Timor gagal menyaingi Jawi Peranakan dan “…tidak
sempat hidup lama lantaran kepicikan pelanggan.”[13]
Akhbar Pemimpin Warita (1895-1897) juga tidak panjang umurnya “…kerana
kesulitan mendapat sokongan pembaca dan langganan yang tetap, Pemimpin
Warita diberhentikan penerbitannya pada penghujung bulan Ogos 1897.”[14]
Sementara itu, Cahaya
Pulau Pinang (1900-1908) yang cuma mempunyai empat
halaman turut memuatkan pensejarahan tempatan dan luar negeri. Contohnya
“Darihal Duli Tengku Diauddin Yang Maha Mulia”[15]
dan “Istanbul”.[16]
Tetapi akhbar ini cuma hidup lapan tahun setengah dan terkubur pada 28 Mac
1908,[17]
kerana tidak mendapat sambutan. Bagi mengulas fenomena ini, Khoo Kay Kim
menegaskan, “…mengeluarkan akhbar dan majalah pada masa dahulu bukanlah satu
jenis perniagaan yang begitu viable. Bukan hanya pasarannya terbatas
bahkan pengedarannya sudah tentu menimbulkan masalah terutamanya pada waktu
sebelum Perang Dunia II kerana sistem perhubungan masih belum begitu efisien.”[18]
Pendapat ini
diperkukuhkan lagi oleh Hj.Muhammad Mohd. Said yang mengatakan; “…kehidupan
surat-surat khabar Melayu dan lainnya, sekiranya tiada siapa yang gemarkannya
dan tiada pula dibayar wang yuran
langganannya tentulah ia tiada hidup dengan berpanjangan umur.”[19]
Beliau juga menegaskan bangsa Melayu yang berpendidikan ketika itu menganggap,
“…membaca surat khabar itu disifatkan suatu perkara yang tiada memberi faedah
dan jauh sekali mereka itu hendak berlanggan dan membayar yurannya.”[20]
Manakala Utusan
Melayu dan Lembaga Melayu yang pro-kerajaan hidup segar kerana
dibantu oleh akhbar Inggeris Singapore Free Press dan Malaya Tribune.
Pengasuh pula walaupun mengalami kerugian akibat langganan tidak dibayar
terus juga diterbitkan kerana ia merupakan lidah rasmi Majlis Ugama dan Istiadat Melayu Kelantan.[21]
Berdasarkan
contoh-contoh tadi jelaslah bahawa makalah pensejarahan Melayu dimuatkan
berdasarkan keperluan dan kepentingan semasa dan batasan kewangan. Ini kerana
pelanggan akhbar ketika itu tidak ramai dan lebih meminati karya sastera
seperti pantun, cerpen, syair, cerita adat dan hikayat. Contohnya akhbar Jawi
Peranakkan yang mempunyai empat halaman tidak mementingkan makalah
pensejarahan, sebaliknya “…separuh isinya dipenuhi dengan iklan.”[22]
Natijahnya dari sudut historiografi, maka nilai pensejarahan yang terkandung
atau dipaparkan oleh sesebuah akhbar turut dipengaruhi oleh unsur-unsur yang
disebutkan tadi.
Salah sebuah akhbar
penting yang menyumbang kepada pensejarahan Melayu ini baik secara positif dan
negatif ialah Pengasuh. Bagi memahami peranan Pengasuh dari segi
pensejarahan Melayu ada lebih baik kita tinjau kedudukan peranan dan sumbangan
akhbar lain yang wujud sebelum dan semasa dengan Pengasuh. Dengan ini
kita dapat membuat penilaian sejauh manakah akhbar-akhbar yang wujud menjadi
penyumbang kepada pensejarahan Melayu dalam bentuk atau kebolehan masing -masing apabila dibandingkan dengan
akhbar Pengasuh yang menjadi fokus utama kajian ini.
Kaedah ini akan
meningkatkan lagi cara pengukuran terhadap Pengasuh dari segi historiografi
kerana Pengasuh umumnya merupakan sebuah akhbar yang sensitif kepada
keperluan rakyat dan menjadi sumber sejarah orang awam serta kepada penulisan
sejarah dari bawah yang melibatkan rakyat biasa. Antara sumbangan Pengasuh
kepada pensejarahan Melayu ialah menyumbangkan
pensejarahan sosial, pensejarahan riwayat hidup tokoh, pensejarahan
politik dan ekonomi, kemasyarakatan, keagamaan, tatanegara, peperangan dan
pensejarahan bahasa.
[6]Undang-undang
hasutan diperkenalkan di Negeri-Negeri Selat
di bawah Ordinan No.11,1915 apabila dunia antarabangsa sedang mengalami
peperangan. Pihak berkuasa kolonial di Malaya semakin berhati-hati tentang
sentimen anti-British. Di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu,kawalan penerbitan
yang mengendungi unsure hasutan dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi di bawah Public
Emergency Enactment 1917. Untuk keterangan lanjut lihat Md. Sidin Ahmad
Ishak, Penerbitan Percetakan Buku Melayu 1807-1960, Dewan Bahasa dan
Pustaka, KualaLumpur, 1998, hlm.253-266.
No comments:
Post a Comment