Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
daynr.ghazali@utusan.com.my
SHUKOR Adan (kanan) tetap turun
padang untuk mengikuti sesi latihan pertama skuad Harimau Malaya di padang
Wisma FAM, Petaling Jaya semalam. - UTUSAN/MOHD AZIM ABD RAHMAN
Advertisement
PETALING JAYA - Semangat orang
lama, Mohd. Shukor Adan yang tetap menjalani latihan walaupun demam membuatkan
pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh berasa kagum dan teruja dengan pemain
itu.
Sikap Shukor yang tidak
mempedulikan masalah kesihatannya diharap oleh Dollah dicontohi pemain-pemain
lain.
"Dalam latihan, pemain
senior seperti Shukor menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun masih
demam dan selesema.
"Bayangkan dalam
perlawanan terakhir bersama Felda, dia tidak boleh bermain kerana menghidap
demam namun itu tidak memadamkan keinginannya untuk menyarung jersi kebangsaan.
"Saya kagum dan puas hati
dengan apa yang dia pamerkan, semoga semua pemain muda dapat ikut rentak yang
dia tunjukkan.
"Ini menunjukkan dia
sebagai pemain senior memang layak diserapkan (ke dalam skuad kebangsaan) dan
wajar menjadi contoh kepada semua," katanya selepas sesi latihan skuad
Harimau Malaya di Wisma FAM semalam.
Kali terakhir Shukor menyarung
jersi negara adalah dalam Kejohanan AFF 2008 ketika di bawah kendalian Norizan
Bakar.
Sementara itu Dollah memberi
bayangan tempat Khairul Fahmi Che Mat atau Mohd. Farizal Marlias sebagai
penjaga gol tidak terjamin dengan kehadiran Azizon Abdul Kadir.
"Azizon sejak kebelakangan
ini semakin menjadi dengan PDRM dan berdasarkan maklumat yang saya dapat dari
Azman, dia menunjukkan kesungguhan.
"Keadaan fizikal dan berat
badannya pun banyak berubah, malah apabila dia tiba di sini saya nampak dia
begitu berminat menyarung jersi kebangsaan," katanya.
Skuad Harimau Malaya menjalani
latihan sulung tanpa kehadiran Safee Sali, S. Chanturu dan Mohd. Badhri Mohd.
Radzi yang ditimpa kecederaan.
Menurut Dollah, peluang Safee
ke Surabaya bagi perlawanan persahabatan masih 50-50 memandangkan kecederaan
tendon hamstring yang dialaminya belum pulih.
"Safee baharu pulih
kira-kira 60 peratus dan ahli fisio akan periksa keadaannya sekali lagi esok
(hari ini).
"Jika tahap kecederaannya
belum pulih sepenuhnya, maka saya akan menasihatkan Safee agar pulang ke Johor
bagi menjalani rawatan susulan hingga pulih.
"Chanturu dan Badhri pula
saya rasa boleh menjalani latihan dalam tempoh beberapa hari lagi,"
katanya.
Skuad Harimau Malaya akan
menentang Indonesia di Surabaya pada 14 September.
sumber
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140906/su_01/Semangat-Shukor-buat-Dollah-terharu#ixzz3CYcnp5v0
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment