Fosil gigi Spinosaurid bukti
dinosaur wujud di Malaysia
FOSIL gigi ini yang ditemui di
sebuah kawasan hutan antara Kuala Semantan dan Temerloh, Pahang mempunyai
ukuran 23 milimeter panjang dan 10 milimeter lebar.
PENEMUAN fosil gigi dinosaur
Spinosaurid Therapod di sebuah kawasan hutan di Pahang membuktikan bahawa ia
lebih besar daripada spesies Tyrannosaurus Rex (T-Rex).
Fosil yang ditemui sekumpulan
penyelidik daripada Jabatan Geologi, Universiti Malaya (UM) dan ditanda sebagai
Sampel UM10575 pada Februari lalu itu turut dipercayai gigi anak dinosaur
pemakan ikan yang belum mencapai usia dewasa.
Gigi yang ditemui di sebuah
kawasan hutan antara Kuala Semantan dan Temerloh itu mempunyai ukuran 23
milimeter panjang dan 10 milimeter lebar.
Difahamkan, penemuan fosil itu
merupakan yang pertama di negara ini dan dilakukan secara usaha sama antara
Jabatan Geologi UM dengan Universiti Waseda dan Universiti Kumamoto sejak
September 2012.
Mengulas mengenai penemuan
tersebut, ahli paleontologi Institut Geologi Malaysia, Ahmad Rosli Othman
berkata, kawasan banjaran gunung di Pahang termasuk Gunung Tahan, Gunung
Berantai dan Endau Rompin berkemungkinan besar mempunyai lebih banyak fosil
dinosaur.
"Usaha menjejak fosil
dinosaur agak sukar kerana kawasan ini terdiri daripada hutan tebal
bergunung-ganang dan sebahagian pula kawasan yang dilindungi," kata
beliau.
Ahmad Rosli menambah, penemuan
tersebut juga menjadi titik mula kepada ahli paleontologi untuk mencari lebih
banyak fosil yang mungkin tertanam oleh lapisan sedimen di dalam batuan di
negeri itu sejak berjuta tahun lalu.
Dalam pada itu, Pengerusi
Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin
berkata, kerajaan negeri bersedia menjadikan kawasan penemuan fosil tersebut
sebagai destinasi pelancong.
Bagaimanapun, Mohd. Sharkar
menambah, cadangan itu hanya boleh dilaksanakan selepas semua kajian mengenai
fosil di lokasi tersebut selesai.
Menurut beliau, Menteri Besar,
Datuk Seri Adnan Yaakob juga akan mengumumkan lokasi sebenar penemuan fosil itu
secara rasmi selepas semua kajian berkaitan selesai.
SUMBER-
No comments:
Post a Comment