04 September 2016 12:10 AM
JORDAN HENDERSON (kiri) bersaing dengan Danny Drinkwater
dalam sesi latihan England di St. Georges Park, semalam. REUTERS
LONDON 3 Sept. – Pengurus England, Sam Allardyce membuat
tiga pertukaran pertama ke atas barisan pemainnya bagi menghadapi kelayakan Kumpulan
F Piala Dunia 2018 zon Eropah menentang Slovakia di tempat lawan esok.
Dia memanggil John Stones (pertahanan), Jordan Henderson
(tengah) dan Adam Lallana (serangan) pada saat akhir, semalam.
Khidmat tiga pemain itu diperlukan bagi menggantikan Chris
Smalling, Dele Alli dan Daniel Sturridge yang digugurkan selepas gagal membantu
England ketika tewas mengejut 1-2 kepada Iceland pada pusingan kedua Euro 2016
di Perancis Jun lalu.
Bagaimanapun tempat Joe Hart sebagai penjaga gol utama
dikekalkan walaupun tidak lagi bersama Manchester City yang meminjamkannya
kepada Torino.
Ini merupakan perlawanan antarabangsa pertama buat
Allardyce sejak menggantikan Roy Hodgson yang meletak jawatan selepas kegagalan
memalukan di Euro 2016.
Slovakia dijangka menjadi penilaian awal sama ada pilihan
Persatuan Bolasepak (FA) England memilih Allardyce tepat atau tidak.
Stone yang baru dibeli oleh Manchester City dengan harga
47.5 juta pound (RM256.5 juta) akan bergandingan dengan Tim Cahill di posisi
bek tengah, manakala Kyle Walker dan Danny Rose di bek kanan serta kiri.
Eric Dier pula diletak sebagai pemain tengah bertahan di
belakang Henderson, manakala Wayne Rooney mengetuai jentera serangan bersama
Harry Kane selaku penyerang utama selain Raheem Sterling dan Lallana di bahagian
sayap.
England dikat 0-0 oleh Slovakia di peringkat kumpulan
Euro 2016, namun Allardyce menjanjikan kelainan kali ini.
"Saya tidak menyaksikan aksi Slovakia di Euro dan
saya rasa mereka akan menggunakan taktik berbeza di laman sendiri,” kata Allardyce.
– Reuters
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/allardyce-buat-tiga-pertukaran-1.378108#sthash.O10iPRr4.dpuf
No comments:
Post a Comment