Ad

Saturday, 3 September 2016

Indonesia masih berbisa

Harimau Malaysia waspada aksi Garuda
FADHILUL IZMEL ISHAK  |  04 September 2016 12:10 AM
ONG KIM SWEE (kiri) memberi arahan kepada pemain skuad kebangsaan
ONG KIM SWEE (kiri) memberi arahan kepada pemain skuad kebangsaan dalam sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. mingguan/FAISOL MUSTAFA
KUALA LUMPUR 3 Sept. - Biarpun Indonesia baru dibebaskan daripada penggantu­ngan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), namun jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee percaya mereka masih pasukan yang sama.
Kim Swee berkata, pertemuan di antara Malaysia menentang Indonesia dalam aksi persahabatan kelas A di Stadium Manahan Solo, Selasa depan merupakan aksi pertama skuad Garuda itu di pentas antarabangsa selepas digantung.
Namun, memandangkan lawan menggunakan khidmat Alfred Ried, dia percaya jurulatih dari Austria itu akan menggunakan corak permainan yang sama seperti dulu.
“Persiapan kami semua berjalan lancar. Brendan Gan dan Ahmad Hazwan (Bakri) sudah semakin pulih.
“Saya juga mencuba beberapa pemain dalam pelbagai posisi dan saya sudah ada gambaran pemain mana yang akan diturunkan.
“Bagaimanapun, semua bergantung kepada dua hari latihan di Solo sebelum saya memutuskan pemain mana yang bakal ber­aksi.
“Daripada senarai pemain Indonesia, saya dapati ada empat atau lima pemain pernah beraksi pada Piala AFF 2014 dan selebihnya pemain muda.
“Saya percaya Indonesia se­perti kita di mana mereka me­lakukan transisi dengan membawa masuk lebih ramai pemain muda,” katanya kepada pembe­rita di Wisma FAM hari ini.
Riedl, 66, pernah berkhidmat sebanyak tiga kali bersama Indonesia iaitu pada 2010 hingga 2011 kemudian 2013 hingga 2014 dan terbaharu 2016 hingga sekarang.
Malah, dia juga pernah mengemudi beberapa pasukan dari rantau Asia Tenggara seperti Vietnam dan Laos.
Dalam pada itu, Kim Swee memberitahu, dia tidak memberi fokus kepada mana-mana pemain Indonesia, sebaliknya menggesa anak-anak buahnya mengawasi skuad Garuda itu secara pasukan meskipun tiga daripada pemain mereka beraksi di luar negara iaitu Andik Vermansyah (Selangor), Irfan Haarys Bachdim (Jepun) dan Dedi Gusmawan (Myanmar).
“Pemain baharu yang dipanggil menunjukkan kesungguhan dan mereka juga bercampur gaul dengan senior di dalam dan luar padang.
“Bagi saya semua pemain harus diberikan tumpuan terutamanya sebagai satu unit.
“Indonesia beraksi perlawanan pertama selepas digantung dan kita bermain dengan pemain baharu.
“Situasi ini baik untuk kedua-dua pasukan di mana ia akan memberi kita gambaran tentang apakah kelemahan dan kelebihan kita,” katanya lagi.
“Saya harap penyokong Indonesia akan memenuhi stadium kerana saya percaya perlawanan menentang Myanmar dalam Piala AFF 2016 nanti stadium juga akan dipenuhi dengan peminat lawan.
“Ini memberi pengalaman yang cukup baik sebelum kita menghadapi Myanmar,” katanya lagi.
Tambah Kim Swee, pihaknya masih lagi menunggu keputusan satu atau dua lagi pasukan yang ingin mengadakan aksi persahabatan bersama Harimau Malaysia sebelum menghadapi Piala AFF 2016, selain Korea Utara dan Hong Kong.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/indonesia-masih-berbisa-1.378129#sthash.jXqhOfUo.dpuf

No comments:

Post a Comment