ONG Kim Swee.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee yakin dapat mencongak corak permainan Indonesia biarpun lawannya itu bakal tampil buat kali pertama di pentas antarabangsa selepas bebas daripada penggantungan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Akibat campur tangan kerajaan, FIFA mengambil keputusan untuk menggantung Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) daripada sebarang aktiviti bola sepak di peringkat antarabangsa mulai Mei 2015 hingga Februari 2016.
Menurut Kim Swee, walaupun Indonesia sudah lama tidak beraksi serta membariskan ramai pemain baru namun pasukan itu masih menggunakan sentuhan jurulatih terdahulu Alfred Riedl.
“Dari senarai pemain Indonesia yang dapat saya lihat, empat atau lima pemain saja pernah beraksi di Piala AFF yang lalu, bakinya pemain muda.
“Saya percaya Indonesia juga seperti kita yang menurunkan ramai pemain muda. Yang penting kita tahu Riedl sudah bersama dengan Indonesia sejak sekian lama dan saya percaya corak permainan Indonesia tidak jauh berbeza berbanding sebelum ini.
“Ini perlawanan pertama mereka selepas digantung, kita juga bermain dengan pemain baru jadi ini baik untuk kedua-dua pasukan untuk beri gambaran kekuatan dan kelemahan masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan pusat skuad kebangsaan semalam.
Harimau Malaysia menjalani latihan terakhir semalam sebelum berlepas ke Solo, Indonesia hari ini bagi aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Manahan, Selasa ini.
Ia perlawanan pertama Malaysia dengan seteru Asia Tenggara itu selepas tumpas 0-2 dalam aksi persahabatan di Surabaya pada September 2014.
Menjelang pertembungan itu, Kim Swee menerima perkhabaran gembira dengan pemain tengah Brendan Gan serta penyerang Ahmad Hazwan Bakri menunjukkan perkembangan positif selepas dilanda kecederaan.
“Ini hari kedua Brendan menjalani latihan bersama pasukan manakala Hazwan turun buat kali pertama dan saya harap Hazwan sempat pulih apabila kita ke Indonesia bagi perlawanan Selasa nanti.
“Beberapa pemain sudah saya cuba dari segi posisi, sudah tentu saya sudah ada gambaran, terpulang kepada dua latihan lagi di Solo sebelum saya memutuskan siapa yang akan bermain,” jelasnya yang kini giat mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Piala AFF di Yangon, Myanmar November ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:16 AM
No comments:
Post a Comment